PDRM Defenders mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Premier Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Terengganu selepas berjaya menundukkan Bomba Fighters 2-0 pada aksi kedua sebentar tadi.
Masih segar dengan kejayaan menundukkan Johor Tigris semalam, PDRM Defenders terus meletakkan kepercayaan kepada Worapat Kaewtawatwiset (tekong), Shahalril Aiman Halim selaku apit kanan dan Shahalril Aimin Halim (apit kiri) untuk terus meraih kemenangan.
Baca Juga:
- STL 2025: PDRM Defenders Gagah Di Gong Badak, Atasi Johor Tigris
- STL 2025: Senarai Penuh Pemain Dalam Saingan Liga Premier
- STL 2025: Senarai Lengkap Pasukan Yang Beraksi Dalam Liga Premier
Manakala, Bomba Fighters yang muncul naib juara Divisyen 1 tempoh hari membariskan tekong import, Chancai Sarika, Mohamad Shahrul Ishaqdin (apit kanan) dan Muhammad Zaim Zamri selaku apit kiri.
PDRM Defenders Terus Garang
Set pertama menyaksikan libasan-libasan mantap daripada Shahalril Aiman dan Shahrul Ishaqdin membuatkan permainan menjadi cukup sengit untuk disaksikan.
Aksi kejar-mengejar mata ditampilkan akhirnya memihak PDRM yang menang set pertama dengan jurang tipis 15-13.
Cabaran lebih mudah buat PDRM yang mendominasi set kedua sekali gus mengesahkan kemenangan dengan mata 15-8.
Kemenangan ini bukan sahaja memastikan slot ke separuh akhir milik mereka, malah memberi isyarat bahawa cabaran PDRM Defenders pada musim ini tidak wajar dipandang enteng pasukan lain dalam saingan Liga Premier STL 2025.
Aksi Bomba Fighters menentang Johor Tigris esok bakal menentukan pasukan mana yang bakal berada di kedudukan kedua untuk merebut tempat ke klasifikasi ke-5/8.