Negeri Sembilan Antlers bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 2-1 ke atas Terengganu Turtles pada aksi kumpulan B Liga Premier Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Terengganu, sebentar tadi.

Perlawanan di Stadium Tertutup Gong Badak itu berlangsung dengan cukup mendebarkan apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik dan meyakinkan.

Baca Juga:

Lebih menarik ia merupakan pertemuan 100 peratus pemain tempatan dimana Negeri Sembilan Antlers meletakkan harapan kepada Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri).

Negeri Sembilan Antlers

Manakala, Terengganu pula membariskan Zulkifli Razak (Amar Roslan) selaku tekong, Khairol Zaman Hamir Akbar (apit kanan) dan Zulhusni Basri (apit kiri).

Aksi menarik pada babak pertama menyaksikan kedua-dua regu saling kejar-mengejar mata yang menyaksikan Zulkifli dan Haziq menjadi watak penting dengan servis menarik dijelmakan.

Zulkifli cemerlang dengan servis ‘drop’ di bahagian depan jaring manakala Haziq pula memilih servis laju dalam usaha mendapatkan mata.

Permainan menarik yang berlanjutan selama 30 minit itu dimenangi oleh Terengganu dengan 15-13.

Negeri Sembilan Antlers

Kebangkitan Hebat Negeri Sembilan Antlers

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Negeri Sembilan Antlers yang merupakan juara Champions Cup 2024 menyajikan aksi lebih kemas pada set kedua.

Walaupun beberapa kali kelebihan dimiliki berjaya dipadamkan tuan rumah, Negeri Sembilan mencuri set kedua dengan kemenangan 15-11 bagi mengheret aksi ke set ketiga.

Aksi menarik turut dapat disaksikan pada set penentuan dengan kedudukan terikat 11-11. Namun, kesilapan mudah dilakukan pemain Terengganu Turtles dihukum lawan untuk Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan 15-12.

Satu lagi pasukan dalam kumpulan C adalah Melaka Titans yang dibarisi pemain bintang. Mereka akan turun beraksi menentang Terengganu Turtles pada 9.30 malam esok dan Negeri Sembilan Antlers, 3.00 petang Khamis nanti.