Berakhirnya saingan Divisyen 1 Sepaktakraw League (STL) 2025 malam tadi menyaksikan teka-teki mengenai pasukan mana yang bakal mengisi dua slot terakhir bagi saingan Liga Premier sudah pun terjawab.
Seperti dijangka, Melaka Titans yang diperkuatkan dengan kehadiran trio berpengalaman iaitu Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali tidak terlalu berdepan masalah untuk muncul juara.
Baca Juga:
- STL 2025: Ini Perubahan Format Yang Buatkan Laluan Kejuaraan Lebih Mencabar
- 6 Lokasi, 1 Matlamat: STL 2025 Sasar Aksi Lebih Menarik
- Pemain Thailand Ini Akui Sistem Sepak Takraw Malaysia Lebih Maju Dari Negaranya Sendiri
Satu lagi slot ke Liga Premier telah diisi Bomba Fighters.

Melaka Titans dan Bomba Fighters akan bersaing dengan pasukan-pasukan seperti Kuala Lumpur Thunder, Negeri Sembilan Antlers, Perak Bison, Selangor Piston, Terengganu Turtles, PDRM Defenders, Johor Tigris, ATM Guardians, Penang Black Panthers serta Kelantan Warriors.
Jadual Liga Premier STL 2025
Saingan STL 2025 yang pastinya menarik untuk disaksikan itu bakal bermula di Grand Prix (GP) Terengganu dimana Stadium Tertutup Gong Badak bakal menjadi tuan rumah pada 17 hingga 21 Jun nanti.
GP Negeri Sembilan pula menyusul pada 2 hingga 6 Julai di Arena N9, Nilai dan kemudiannya GP Kuala Lumpur dengan Stadium Titiwangsa menjadi tuan rumah pada 9 hingga 13 Julai.
14 Julai hingga 3 Ogos pula menyaksikan jendela perpindahan dibuka dan saingan kembali bersambung bagi pusingan keempat berlangsung di Educity atau Larkin Arena untuk GP Johor pada 6 hingga 10 Ogos.
Stadium Indera Mulia, Ipoh bakal menganjurkan GP Perak pada 13 hingga 17 Ogos manakala GP Penang diadakan 20 hingga 24 Ogos di SPICE Arena dimana ia merupakan sirkit terakhir STL 2025.