Saingan Liga Premier STL 2026 bagi Grand Prix (GP) Pulau Pinang semakin menghampiri penghujung selepas Perak Bison dan Negeri Sembilan Antlers mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Lebih menarik untuk diperkatakan, kedua-dua pasukan tersingkir di peringkat suku akhir pada GP Perak, minggu lalu.

Persaingan STL 2026 GP Pulau Pinang Semakin Menarik

Perak Bison terlebih dahulu memastikan slot ke final hasil kemenangan dalam aksi penuh mendebarkan ke atas Kelantan Warriors sehingga ke ‘tie break’.

Dibarisi Pornthep Tinbangbon (tekong), Muhammad Nazrein Daniel Bin Mohd Kamal Mustafa dan Madzrul Aziq Bin Mat Tahir selaku apit kanan dan Amirul Zazwan Amir (apit kanan), Perak Bison tidak terlalu berdepan masalah untuk menang 15-8 pada set pertama.

Namun, Kelantan Warriors yang diperkuatkan dengan kehadiran Muhammad Faisal Bin Mohd Fuad, Madlee Anda (apit kanan) dan apit kiri gantian, Nik Muhammad Afiq Nik Mazlan bagi menggantikan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muammad Zulhanifa memperkemaskan aksi pada set kedua sekali gus menang 15-13 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi kemudiannya cukup mendebarkan dengan aksi saling kejar-mengejar mata yang akhirnya memihak Perak Bison dengan kemenangan 17-16.

Menanti mereka final STL 2026 pada 9.30 malam nanti ialah Negeri Sembilan Antlers yang memperagakan aksi bertenaga bagi menundukkan Kedah Eagles.

Gandingan Muhammad Haziq Bin Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan apit kiri, Zulefendi Sumari jelas cukup tenang untuk memastikan slot ke final menjadi milik mereka dengan kemenangan ‘straight set’ 15-9, 15-10.

Seperti dilaporkan sebelum ini, juara GP saingan STL 2026 akan menerima 32 mata manakala naib juara dengan 28 mata. Pasukan yang berada di tangga ketiga pula membawa pulang 24 mata dan 21 mata buat pasukan kedudukan keempat.