Kita sering kali menyangka dengan menggunakan straw kertas adalah lebih selamat dan mesra alam. Realitinya, ia tidaklah memberi kebaikan seperti yang diharapkan.

Penyelidik memberi amaran bahawa penyedut minuman kertas yang dikenali sebagai ‘mesra alam’ dilaporkan mengandungi bahan kimia yang tahan lama serta tidak bagus untuk alam sekitar berbanding straw plastik.

Baca Juga:

Sumber Gambar: NY Post

Lebih teruk lagi, bahan kimia tahan lama ini berpotensi mendatangkan bahaya kepada manusia, hidupan liar dan alam sekitar.

Penyelidik Belgium mendapati bahan kimia itu telah ditemui dalam 18 daripada 20 jenama penyedut minuman kertas.

Menurut laporan terkini, banyak negara antaranya UK dan Belgium telah mengharamkan penjualan produk plastik sekali guna termasuk straw minuman.

Dalam analisis pertama seumpamanya di Eropah, para penyelidik telah menguji sebanyak 39 jenama straw untuk kumpulan bahan kimia sintetik. Bahan itu dikenali sebagai bahan poli dan perfluoroakyl (PFAS).

PFAS ditemui dalam kebanyakan straw yang diuji dan paling banyak dikesan adalah dalam straw yang dibuat daripada kertas dan buluh.

Kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal peer-reviewed Food Additives and Contaminants.

Thimo Groffen, seorang saintis alam sekitar di Universiti Antwep berkata, pasukan penyelidikan ingin mengetahui sama ada PFAS ada dalam straw yang dijual di Belgium.

Pasukan itu telah membeli sebanyak 39 jenama straw yang diperbuat daripada lima bahan iaitu kertas, buluh, kaca, keluli tahan karat dan plastik.

Penemuan mendapati, majoriti jenama iaitu sebanyak 27 daripada 39 jenama atau 69 peratus jenama straw yang diuji mengandungi PFAS.

Straw minuman kertas kebanyakannya dilaporkan mengandungi PFAS dengan bahan kimia dikesan dalam 90 peratus daripada jenama yang diuji.

Selain itu, PFAS juga dikesan dalam empat daripada lima straw buluh, tiga daripada empat jenama straw plastik dan dua daripada lima straw kaca.

Penemuan bahan kimia dalam hampir setiap jenama straw kertas berkemungkinan digunakan sebagai salutan kalis air.

Kajian itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada PFAS akan meresap keluar dari penyedut minuman ke dalam bentuk cecair atau tidak.

PFAS yang paling biasa ditemui adalah asid perfluorooctanoic (PFOA) dan ia telah diharamkan di seluruh dunia sejak 2020 lalu.

Malah, mereka juga berjaya mengesan asid trifluoroacetic (TFA) dan asid trifluoromenthanesulfonic (TFMS). PFAS dikesan sangat mudah larut dalam air dan ia mungkin telah meresap keluar daripada penyedut minuman lalu bercampur dengan minuman.

Penyelidik turut menyatakan bahawa disebabkan pengguna kebanyakannya menggunakan straw minuman kadang-kala, maka risiko juga tidak terlalu ketara kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, PFAS dikatakan boleh kekal di dalam badan manusia selama bertahun-tahun dan kepekatannya boleh meningkat dari semasa ke semasa.

PFAS kebiasaannya digunakan dalam pembuatan produk harian seperti pakaian luar hingga kuali non-stick, kalis air dan banyak lagi.

Bahkan, ia bakal menyebabkan kerosakan secara perlahan dari semasa ke semasa dan boleh bertahan selama beribu-ribu tahun kepada alam sekitar. Sifat ini telah menyebabkan ia dikenali sebagai “bahan kimia selama-lamanya”.

Malah, kehadiran bahan kimia ini juga dikaitkan dengan kesihatan, termasuk tindak balas yang lebih rendah terhadap vaksin, kadar kelahiran rendah, penyakit tiroid, peningkatan paras kolesterol, kerosakan hati, kanser buah pinggang dan kanser testis.

Groffen berkata: “Sebilangan kecil PFAS, walaupun tidak berbahaya ia boleh menambah beban kimia yang sedia ada di dalam badan.

“Kami tidak mengesan sebarang PFAS dalam straw keluli tahan karat, jadi saya akan menasihati pengguna untuk menggunakan straw minuman jenis ini  atau elakkan menggunakan straw minuman sama sekali.

Straw yang diperbuat daripada bahan berasaskan tumbuhan, seperti kertas dan buluh, sering diiklankan sebagai lebih mampan dan mesra alam berbanding yang diperbuat daripada plastik.

“Bagaimanapun, kehadiran PFAS dalam straq minuman ini bermakna itu tidak semestinya benar.” Ada baiknya jika kita mengambil langkah berjaga dengan penggunaan straw kertas memandangkan wujudnya bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan.

Sumber