Salah satu isu dalam rumah tangga yang masih dibelenggu oleh sesetengah wanita adalah suami baran. Tidak hanya bakal memberi trauma kepada fizikal malah emosi yangtidak stabil.
Baru-baru ini, sebuah rakaman video live menjadi tular di media sosial yang mana mempamerkan seorang wanita yang dilempang oleh suaminya di depan orang ramai.

Menerusi video berkenaan, seorang pengguna TikTok pada ketika itu membuat live untuk jualan kereta di pasaraya dan didapati pengunjung pula lalu lalang di sebalik latar belakang.
Ketika dalam pertengahan sesi live berlangsung, satu momen berjaya terakam di mana seorang wanita kelihatan sedang meluru ke arah pintu utama namun kelihatan ketakutan sebaik melihat seorang lelaki yang dipercayai adalah suaminya.
Lelaki berkenaan tampak amarah langsung menuju ke arah wanita itu dan melempang mukanya sambil memarahi seolah-olah bengang kerana tercari-cari kedudukannya.
Sebahagian pengunjung yang berada berdekatan terpegun melihat kejadian keganasan tersebut. Video rakaman tersebut kemudian dikongsi semula menerusi pelbagai media sosial dan mengundang kecaman dari netizen.
Itu laki dia ke? Kot yer pun jangn la buat macam tu dpn org ramai…..kesian …. pic.twitter.com/kCTuAJyaQK
— 요시로 왕자 (@Cool_Wannabe82) January 26, 2025
Majoritinya meluahkan rasa bengang dengan si suami yang selamba melempang isterinya di khalayak ramai sambil memegang anak ditangan.
Malah, ramai juga mula membangkitkan kerisauan dengan nasib si isteri di rumah kerana didapati dia ketakutan sebaik melihat suaminya di dalam rakaman video itu.


Kemas kini terbaharu, pengguna TikTok yang merakam kejadian itu sudahpun membuat laporan kepada pihak polis susulan insiden yang menimpa wanita itu.
Memetik laporan pada tahun lalu, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 773 kes dilaporkan di Selangor dengan 81 kes dilaporkan di daerah Klang.