Misteri kehilangan sepasang suami isteri bersama anak mereka sejak 20 Julai lalu akhirnya terjawab apabila pasangan berkenaan menyerah diri kepada polis, namun mereka kini berdepan siasatan membabitkan dakwaan penipuan berkaitan hutang duit kutu.

Lebih mengejutkan, polis menerima 35 laporan daripada mangsa yang mendakwa mengalami kerugian keseluruhan mencecah RM1.7 juta – menurut laporan BH Online.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kesemua laporan itu dibuat oleh mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.

Sebelum ini, pasangan berusia 39 dan 36 tahun bersama anak mereka dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai lalu.

Bapa kepada wanita terbabit, 62, kemudian membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anak perempuan, menantu dan cucunya.

Rakaman CCTV di kawasan perumahan mendapati tiga beranak itu pulang ke rumah menggunakan sebuah kenderaan pada jam 1.12 pagi, sebelum keluar semula tidak lama kemudian.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka mempunyai kaitan dengan hutang duit kutu selepas menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian RM25,000.

Bagaimanapun, pasangan itu akhirnya menyerah diri di IPD Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi Khamis lalu.

Mereka yang sebelum ini direman selama empat hari kini disambung reman dua hari lagi bagi membantu siasatan.

Kes ini menjadi perhatian selepas jumlah laporan dan nilai kerugian yang didakwa semakin bertambah, dengan polis kini meneliti keseluruhan transaksi serta dakwaan yang dibuat oleh puluhan mangsa.