Pada tahun ini, dijangkakan lebih banyak barang mentah bakal mengalami kenaikan harga. Antara barang mentah yang dimaksudkan termasuk ayam dan telur selaras dengan perancangan Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Kerajaan kini bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam bakal ditamatkan berkuat kuasa pada Rabu ini iaitu 1 November kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Satu Berita

Beliau berkata bagi subsidi telur gred A, B, C, kerajaan bersetuju untuk ia diteruskan mengikut mekanisme sedia ada.

“Ia (penamatan subsidi ayam) adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam.

Beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.

“Rasional untuk penamatan subsidi secara pukal bagi ayam ini adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau turut berkata penamatan subsidi ayam itu selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil.

Hal ini sekaligus menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling. Dalam pada itu, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.

“Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Okt 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” katanya lagi.

Selain telur dan ayam, bawang juga mungkin akan mengalami peningkatan harga memandangkan kerajaan India mahu menfokuskan penjualan bawang di dalam pasaran domestik mereka sehingga akhir tahun ini.

Sumber