Sejak pemergian Allahyarham Abam Bocey, konflik keluarga melibatkan isterinya, Siti Norhidayah Mohd Ali serta adik Allahyarham, Ali Puteh dilihat diak berkesudahan.

Konflik keluarga ini menjadi lebih keruh selepas Ali Puteh kalah saman di mahkamah selepas didapati bersalah mengaibkan Hidayah di Instagram pada dua tahun lalu.

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu, Ali Puteh menurut perintah mahkamah diminta membayar sebanyak RM76,000 di mana jumlah ini masih belum dilunaskan sehingga ke hari ini.

Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali sudah cukup bersabar dalam menangani masalah hutang sebanyak RM76,000 yang belum lagi dilunaskan pelawak, Ali Puteh sebagaimana perintah mahkamah.

“Sudah beberapa kali arahan dari mahkamah, termasuk peguam saya meminta pihak sana menyelesaikan bayaran RM76,000 yang saya menang dalam kes saman pada 18 Februari, tahun lalu.

“Tapi, pihak sana masih lagi degil, dan melanggar perintah mahkamah. Malah, tiada usaha dan inisiatif dilakukan untuk melangsaikan hutang piutang itu kepada saya,” jelas Hidayah kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Hidayah berkata, bukan Ali saja yang tidak membayar hutang, namun kakaknya pun sehingga hari ini masih lagi tidak melunaskan bayaran RM2,000 sebagaimana yang diperintahkan mahkamah selepas kalah saman terhadapnya.

Mengulas mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil, Hidayah akui akan terus mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak Ali terus berdiam tanpa membayar hutang.

“Sebelum ini, saya masih berbaik hati dan bertimbang rasa untuk memberi ruang dan masa padanya untuk menyelesaikan hutang ini. Tetapi, dia tidak memandang serius perkara ini dan tindakan susulan perlu saya buat.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang susulan yang lebih berat agar pihak sana dapat menjelaskan hutang piutang ini dengan kadar segera kerana saya tidak mahu ada timbul apa-apa masalah yang berhubung kait dengannya lagi selepas ini,” katanya ingin fokus pada perniagaan produk kecantikan diusahakan kini.

Baru-baru ini, Hidayah menerusi hantaran dibuatnya di akaun Instagram @abam_bocik, meminta Ali serta kakaknya membuat pembayaran segera hutang mereka kepadanya berhubung kes saman itu.

Pada hantaran di media sosialnya, Hidayah juga memuat naik tangkap layar kisah Ali yang kini giat menjalankan perniagaan sambal petai dan jering berlado yang semakin maju.

Sementara itu, Ali Puteh baru-baru ini turut memaklumkan agar Hidayah berhenti memutar belit kata-kata selepas beliau menolak menerima aset Ali Puteh yang terdiri daripada motosikal Yamaha RXZ,125Z dan juga Y15 sebagai ganti kepada pembayaran tunai.

Sumber