Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mempamerkan aksi cemerlang untuk melayakkan diri ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024 selepas berjaya menundukkan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty sebentar tadi.
Berdepan lawan yang merupakan bekas pasangan ranking nombor satu dunia dilihat memberikan kesukaran buat Aaron dan Wooi Yik pada set pertama.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Cipta Sejarah Ke Separuh Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Jumpa Beregu India Di Suku Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Lee Zii Jia Mudah Ke Pusingan 16
Gandingan tinggi lampai itu jelas menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki untuk mendapatkan banyak mata menerusi smash kencang.
Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 21-13 dicatatkan anak buah legenda badminton Denmark, Mathias Boe itu pada set pertama.
Bagaikan mendapat tonik berguna diberikan Rexy Mainaky dan Tan Bin Sheng pada waktu rehat, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi lebih kemas pada set kedua.
Mereka bangkit daripada ketinggalan empat mata pada peringkat awal dant tampil lebih agresif untuk menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi lebih menarik dengan kedua-dua pasangan yang sudah bertemu 12 kali itu dimana mereka sentiasa kejar-mengejar mata.
Ketinggalan 11-14 pada satu ketika, mereka mengutip empat mata berturut-turut untuk mendahului 15-14. Namun, Satwiksairaj dan Chirag tidak menyerah kalah bagi terus memberikan saingan.
Tekanan memuncak itu akhirnya memihak Aaron-Wooi Yik yang mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-16 untuk sekali lagi mereka mara ke aksi separuh akhir (Sukan Olimpik 2020 Tokyo).
Kemenangan itu bukan sahaja membawa beregu nombor satu Malaysia itu ke separuh akhir tetapi ia turut menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut mereka kepada lawan dari India itu di pentas antarabangsa.
Menanti mereka di separuh akhir esok ialah pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menundukan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Ia merupakan aksi kedua mereka sesama sendiri dalam Sukan Olimpik 2024 selepas Wei Keng-Wang Chang menang ke atas wakil negara itu pada aksi terakhir peringkat kumpulan, tempoh hari.