Atlet-atlet profesional yang bakal membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik 2024 mendapat tonik berguna menjelang temasya di Paris, Perancis itu.
Ia berikutan suntikan dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meringankan beban atlet-atlet terlibat dalam usaha mempersiapkan diri bagi memburu pingat emas sulung buat Malaysia.
Baca Juga:
- Atlet Malaysia Ke Sukan Olimpik Dapat Tajaan Skechers
- RASMI: Azeem Fahmi Dapat Tiket ‘Wild Card’ Ke Sukan Olimpik Paris 2024
- MOM Perkenal Rekaan Baharu Pakaian Rasmi Kontinjen Ke Sukan Olimpik 2024
Penerima geran bantuan tersebut ialah Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei daripada sukan badminton manakala duo golf negara, Gavin Kyle Green serta Ashley Lau Jen Wen.
Perkembangan terkini itu disahkan menerusi satu kenyataan media dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan geran bantuan kepada atlet-atlet profesional negara untuk persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.’’
“Geran bantuan berjumlah keseluruhan RM300,000.00 itu disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada atlet-atlet profesional sukan golf dan badminton iaitu Gavin Kyle Green dan Ashley Lau Jen Wen daripada sukan golf serta Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei daripada sukan badminton.’’
“Pertandingan bagi golf di Sukan Olimpik kali ini akan berlangsung daripada 1 hingga 10 Ogos 2024 manakala badminton daripada 27 Julai hingga 5 Ogos 2024.’’
“Geran bantuan ini adalah inisiatif Kementerian untuk membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan pelatih (sparring partner) dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum.’’
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berkata, “Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.’’
“Kami mahu para atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara.’’
“Pihak Kementerian juga berharap bantuan tambahan ini sedikit sebanyak akan mampu membantu atlet-atlet memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan memberikan persembahan terbaik mereka apabila turun mengejar kejayaan di kota Paris nanti.’’