Dalam satu hantaran yang tular baru-baru ini, seorang individu telah mencetuskan kemarahan orang ramai selepas dengan bangganya mengaku “merembat” atau mengambil harta benda hospital, iaitu kain napkin, untuk kegunaan peribadi.

Apa yang lebih mengejutkan, tindakan tersebut bukanlah satu kesilapan yang tidak disengajakan, sebaliknya telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Menurut luahan individu tersebut, kain napkin hospital itu mula diambil sejak kelahiran anak pertamanya. Kini, anak keduanya sudah pun berusia 9 bulan, bermakna harta hospital tersebut telah berada dalam simpanannya selama hampir empat tahun.

Individu berkenaan memuji kualiti kain tersebut dengan menyifatkan ia sebagai “sumpah lembut dan tahan lasak,” yang seolah-olah menjadi alasan untuk dia menyimpan barangan tersebut tanpa rasa bersalah.

'Sumpah Lembut Dan Tahan Lasak' - Individu Bangga Rembat Kain 'Napkin' Hospital Undang Kecaman Netizen
Sumber Gambar: Threads

Bukan seorang, malah terdapat individu lain yang turut berbuat sedemikian dan berbangga di media sosial seolah-olah ia sesuatu tindakan yang normal

Rata-rata warga maya mengecam tindakan tersebut. Jika benar ia adalah satu ketidaksengajaan, tempoh empat tahun adalah masa yang terlalu lama untuk tidak memulangkannya semula.

“Hareyyy sungguuhhh laaaa. Jenuh wei nak settlekan isu linen loss! Nak topup pon bukan senang bole dapat. Baby baru lahir kang xde napkin nak balut.”

“Kalau betul ‘terbawa’ balik, sekali mungkinlah. Tapi kalau sampai dua orang anak masih simpan dan siap puji kain tu berkualiti, itu memang niat nak memiliki harta hospital,” tulis salah seorang netizen.

“Mesti Korang tidak tau kan hari² kain Linen bersih kena Timbang sebelum dihantar ke hospital dan dibayar oleh kerajaan,” kongsi seorang netizen tentang kuaantiti kain yang akan disemak setiap hari oleh pihak hospital.

Menurut netizen yang berpengalaman sebagai penyelia, tindakan membawa keluar kain linen atau napkin dari hospital merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab kerana barangan tersebut sebenarnya adalah sewaan yang dibayar oleh pihak KKM khusus untuk kegunaan pesakit.

Apabila ramai individu bertindak “mencuri” kain ini, stok simpanan di hospital akan semakin berkurangan dan secara tidak langsung telah menafikan hak pesakit lain yang lebih memerlukan.

Pihak penyelia linen turut menjelaskan bahawa setiap sehelai kain yang baru dibeli oleh syarikat perkhidmatan sokongan sepatutnya mempunyai tempoh jangka hayat penggunaan sehingga tiga tahun.

Sangat mengecewakan apabila kain yang masih baru dan belum tamat tempoh (seperti kod tahun 25) sudah dibawa lari oleh individu yang tidak jujur, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak pengurusan yang bertungkus-lumus memastikan kelengkapan hospital sentiasa mencukupi.

Dalam pada itu, ada seorang lagi yang berkongsi bahawa sebarang kain jenis linen yang mempunyai tulisan adalah milik syarikat konsesi dan pihak KKM bayar sewaan untuk guna pakai dan ia bukan milik kerajaan.