Pasukan paling lemah dalam Toyota Thai League 1 2017, Super Power Samut Prakan sah bertukar pemilik apabila diambil alih Capital Group dari Maha Sarakham.
Walaupun masih berbaki 3 perlawanan untuk melengkapkan semua perlawanan liga musim 2017, dilaporkan bahawa nama kelab itu juga akan ditukar kepada Jumpasri United apabila beraksi dalam saingan Thai League 2 atau pun dikenali juga dengan nama M-150 Championship.
Super Power yang hanya mampu mengutip 5 mata dari 31 perlawanan menjadi pasukan tunggal yang mengutip mata 1 angka, dan pasukan pertama terjerumus ke Thai League 2.
Dari data yang kami perolehi dari Thai League 1, Super Power hanya menang 1 perlawanan, seri dalam 2 perlawanan dan 28 kali kalah. Setakat ini mereka berjaya menjaringkan 27 gol dan bolos 121 gol!
Rekod lain yang ‘tercipta’ musim 2017 ini adalah:
- Muangthong United mencatatkan kemenangan home terbesar apabila membelasah Super Power 9-1
- Super Power dibelasah 7-0 oleh Buriram United dilaman sendiri
- Dalam perlawanan diantara Pattaya United bertemu Super Power, 11 gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan – Super Power tewas 9-2.
- Super Power juga memegang rekod 29 perlawanan tanpa sebarang kemenangan
- Super Power turut mencipta rekod 27 kali tewas secara berturut-turut!
- Perlawanan Super Power bertemu Thai Honda Ladkrabang juga menjadi rekod kehadiran penonton paling rendah dengan hanya 300 orang penonton hadir ke stadium.
Thanabodi Promsuk, naib presiden Jumpasri United, dalam satu kenyataan di Bangkok menyatakan beliau optimis bahawa kelab itu akan menjadi lebih baik dibawah pengurusan baru nanti.
Kelab yang diasaskan pada 1976 ini telah beberapa kali menukar nama sepanjang 46 tahun usia ditubuhkan. Nama asal kelab ini adalah Osotspa FC dan kerap kali bertukar nama seperti Osotspa M-150, Osotspa M-150 Saraburi, Osotspa M-150 Samut Prakan dan akhirnya Super Power Samut Prakan.