Barcelona sekali lagi tampil cemerlang untuk membelasah seteru ketat, Real Madrid 5-2 bagi menjulang kejuaraan Supercopa de Espana (Piala Super Sepanyol), awal pagi tadi.
Ia merupakan kemenangan besar kedua berturut-turut dilakarkan anak buah Hansi Flick ke atas Real Madrid dimana sebelum ini mereka menang 4-0 dalam kempen liga di Santiago Bernabeu pada 27 Oktober tahun lalu.
Baca Juga:
- Ini 10 Garis Panduan Diterapkan Hansi Flick Buat Kem Barcelona
- Petit: Kedatangan Mbappe Hanya Bawa Masalah Buat Real Madrid
- Carlo Ancelotti Laung Amaran Selepas Dibelasah Barcelona 4-0
Beraksi di King Abdullah Sports City, Jeddah, Real Madrid bagaimanapun membuatkan Barcelona tersentak seawal minit keempat menerusi jaringan Kylian Mbappe.
Berpunca daripada gerakan solo dari tengah padang, Mbappe menggunakan kelincahannya untuk menyudahkan peluang bagi menewaskan penjaga gol, Wojciech Tomasz Szcesny.
Kedudukan kembali terikat pada minit ke-22 selepas Lamine Yamal dengan tenang melakukan gerakan dalam kawasan penalti lalu menyudahkan peluang dengan percubaan leret membolosi kawalan Thibaut Courtois.
Jaringan itu jelas menyemarakkan semangat barisan pemain Barcelona yang menambah tiga lagi jaringan menerusi sepakan penalti Robert Lewandowski (minit ke-36), Raphinha (minit ke-39 dan 48) serta Alejandro Balde (minit ke-45+10).
Memasuki minit ke-56, Barcelona terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Szcesny diperintahkan keluar padang ekoran kekasaran dilakukan terhadap Mbappe.
Kelebihan seorang pemain itu masih tidak mampu digunakan sepenuhnya Real Madrid yang hanya mampu menambah satu jaringan menerusi Rodrygo pada minit ke-60.
Keputusan memihak Barcelona itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kejuaraan ke-15 dalam saingan tersebut buat Los Blancos.