Seorang peniaga makanan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual sushi yang tercemar dengan bakteria berbahaya, Februari lalu.

Tertuduh, Khairul Fazlan Ab Aziz, 33, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak, petik Buletin TV3.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual makanan sedia dimakan iaitu Sushi Miniroll Chicken Floss yang tercemar kepada seorang pegawai berkuasa di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, di sini kira-kira jam 4.50 petang pada 22 Februari lalu.

Hasil analisis makmal mendapati sampel makanan berkenaan mengandungi bakteria Staphylococcus aureus pada kadar 5.5 × 10² CFU/g, sekali gus mengesahkan hidangan tersebut terdedah kepada pencemaran mikroorganisma patogenik.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nik Muhammad Hanif Nik Abdull Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nik Muhammad Hanif dalam hujah pendakwaannya menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan bagi memastikan setiap hidangan yang dijual kepada orang awam sentiasa mematuhi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan.

Sumber