Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dilaporkan merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas pemandunya dipercayai terlupa menukarkan gear kenderaan ke kedudukan ‘P’ (Park), dalam kejadian kelmarin.
Dalam insiden kira-kira jam 4.55 petang itu, pemandu wanita berusia 66 tahun berkenaan dikatakan menghentikan kenderaannya di lorong kedua hadapan bangunan KKIA bagi menjemput anaknya, petik Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain menyatakan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila wanita terbabit cuba bertukar tempat duduk pemandu.
“Apabila pemandu berkenaan cuba keluar dari kenderaan, SUV tersebut mula bergerak perlahan. Keadaan itu menyebabkan mangsa panik lalu secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.
“Impak tindakan tersebut menyebabkan kenderaan berkenaan meluncur laju lalu melanggar sebuah kenderaan lain, sebelum terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA dan merosakkan tiang bangunan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrudin memberitahu bahawa mangsa sempat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran berlaku. Walau bagaimanapun, beliau mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans bagi menerima rawatan lanjut. Kes kini disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.