Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Beliau dituduh atas empat pertuduhan rasuah bernilai RM170,000, sejak tiga tahun lalu, petik Harian Metro.

Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dia sebagai ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa bersetuju menerima suapan RM100,000 daripada ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat lelaki itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, pada 24 November 2023.

Sementara dua pertuduhan didakwa memperoleh kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM36,829 daripada Albert sebagai dorongan sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bukit Bandaraya dan Presint 14, Putrajaya di sini, antara 7 Disember 2023 hingga 5 Mac 2024.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia selain diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari 2026.

Sumber