Syarat kesihatan untuk jemaah haji 1447H/2026M telah dikemas kini oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, yang juga menetapkan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) tidak lagi dibenarkan mengendalikan Pusat Rawatan di Tanah Suci.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad, syarat kesihatan baharu tersebut akan dikuatkuasakan oleh TH. Semua jemaah Malaysia diwajibkan mematuhinya bagi tujuan perolehan visa haji.

Antara syarat yang diumumkan ialah bakal jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius, atau penyakit kronik yang tidak terkawal. Mereka juga perlu berupaya menunaikan ibadah haji secara kendiri.

Kenyataan tersebut menetapkan bahawa jemaah tidak layak mengerjakan haji sekiranya mereka mempunyai salah satu daripada penyakit atau keadaan berikut:-

1. Kegagalan Organ Kronik: Kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung/penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik, dan penyakit hati kronik.

2. Masalah Neurologi/Mental: Masalah yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor.

3. Keadaan Khas: Warga emas yang menghidap dementia atau lemah fizikal, kehamilan berisiko tinggi, dan pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

4. Penyakit Berjangkit: Penyakit berjangkit yang aktif.

Syarat Kesihatan Jemaah Haji 2026 Makin 'Strict', Tiada Lagi Pusat Rawatan TH Di Tanah Suci
Sumber Gambar: X

Sehubungan dengan syarat baharu itu, Mustakim menasihati bakal jemaah haji agar membuat persediaan kesihatan fizikal yang rapi.

Ini penting kerana mereka akan berada di Arab Saudi untuk tempoh yang lama, di samping berdepan dengan keadaan cuaca panas dan berdebu.

Beliau menegaskan bahawa tahap kesihatan yang optimum adalah syarat istito‘ah (kemampuan) menunaikan haji, sejajar dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

Justeru, bakal jemaah wajib lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM sebagai syarat untuk menerima tawaran haji.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci untuk musim haji 1447H/2026M. Jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital Kerajaan Arab Saudi, namun tetap berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan KKM.

Walaupun Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) tidak lagi dibenarkan, TH masih mengekalkan klinik kesihatan lengkap dengan klinik pesakit luar dan farmasi di setiap bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah.

Klinik-klinik ini akan dikendalikan oleh 225 petugas kesihatan bertauliah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan jemaah Malaysia, termasuk pengiring warga emas dan OKU, mendapat kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik.

TH juga merancang untuk menyediakan kemudahan rawatan tambahan melalui hospital swasta Arab Saudi jika perlu.

Sumber