Menjadi acara tahunan buat setiap syarikat mengadakan makan malam bersama setiap pekerjanya dan memberikan pelbagai hadiah atau bonus menarik menerusinya.
Bagaimanapun, tular di media sosial berhubung sebuah syarikat di China menawarkan bonus sebesar RM35 juta untuk pekerjanya di dalam satu acara makan malam yang diadakan. Difahamkan wang ini disediakan khas untuk pekerja menang dalam pertandingan kira duit.
Syarikat Henan Mine Crane Co. Ltd di China telah mengejutkan orang ramai apabila meletakkan sejumlah wang kertas mencecah jutaan ringgit di atas meja dan membenarkan pekerjanya mengambil setiap wang yang boleh dikira oleh mereka.
Kelihatan wang tunai bertebaran di atas meja sepanjang 70 meter, para pekerja berpusu-pusu untuk merebut seberapa banyak yang mereka boleh kira dalam masa yang terhad.
Peraturan pertandingan
Setiap pasukan terdiri daripada 30 pekerja, di mana mereka akan memilih dua wakil untuk bertanding. Para peserta diberikan masa 15 minit untuk mengira wang, dan jumlah wang yang dikira akan dibahagikan sama rata dalam kalangan ahli pasukan mereka.
Pada akhir pertandingan, seorang pekerja bertuah berjaya meraih 100,000 yuan (kira-kira RM60,000) dalam hanya 15 minit sahaja.
“Tahun ini, syarikat kami telah menjual lebih 128,000 kren, dengan keuntungan bersih sebanyak 260 juta yuan (kira-kira RM160 juta). Tak ada tekanan nak bayar bonus tahun akhir sebanyak 100 juta yuan (kira-kira RM60 juta),” kata presiden syarikat itu.
Pada awalnya, mereka merancang untuk membagikan 40 juta yuan (kira-kira RM24 juta) semasa acara itu.
Bagaimanapun suasana bertambah hangat, presiden syarikat berbesar hati menambah lagi 20 juta yuan (kira-kira RM12 juta) ke dalam kumpulan hadiah.
Presiden syarikat, Wei Xueming, menjawab spekulasi dalam talian tentang acara ini yang mungkin sekadar gimik pemasaran, dengan berkata: “Kami boleh ‘tayang’ kerana kami memang mempunyai sumber kewangan dan kukuh.”
Syarikat ini tidak mempunyai pinjaman bank atau pembiayaan luar. Malah, tahun lepas kami telah memberikan 2.7 bilion yuan untuk menyokong pengurus perniagaan,” kongsinya lagi.