Siapa sangka dua syarikat gergasi telko di Malaysia iaitu Axiata Group Bhd dan Norwegian Telenor Group yang menawarkan perkhidmatan rangkaian Celcom dan Digi di Malaysia dilaporkan sedang berbincang untuk menyatukan operasi mereka di Asia.
Berdasarkan laporan daripada The Edge Markets, perbincangan ini turut melibatkan jumlah pegangan saham serta rangkaian yang ditawarkan Axiata dan Telenor di beberapa buah negara melibatkan Indonesia, Thailand, Kemboja dan Sri Lanka.
Laporan ini dikuatkan lagi apabila Celcom dan Digi pada pagi ini menggantung sementara perdagangan di Bursa Malaysia dimana ramai yang mengaitkannya dengan gabungan dua jenama besar ini.
Sekiranya perbincangan ini berjaya mencapai kata sepakat, pastinya agak menarik untuk menyaksikan bagaimana kedua-dua syarikat ini mampu bekerjasama dalam menawarkan pelan yang lebih baik buat pengguna dengan rangkaian yang lebih luas.
Gabungan yang bakal dijalinkan ini bakal turut melibatkan lebih 300 juta pengguna dua syarikat ini di Asia. Pastinya harga yang lebih kompetitif ditawarkan dalam usaha untuk bersaing dengan telko lain yang turut menawarkan rangkaian internet yang luas.