Sehingga kini, Amerika Syarikat kekal mengenakan sekatan terhadap negara China kerana didakwa menggunakan teknologi untuk tujuan ketenteraan.
Menurut laporan Al-Jazeera, difahamkan sebuah syarikat dari Malaysia juga telah menerima nasib yang sama apabila bakal disekat oleh negara Amerika Syarikat.

Al Jazeera melaporkan, Jatronics Sdn Bhd antara 300 entiti yang termasuk dalam senarai sekatan Washington kerana membantu Rusia dalam perang di Ukraine.
Jatronics yang berpangkalan di Kuala Lumpur, didakwa membekalkan komponen elektronik penting yang boleh digunakan dalam peluru berpandu, jet dan dron kepada Rusia.
Jurucakap Jabatan Negara AS memberitahu Al Jazeera, Jatronics membekalkan komponen kepada beberapa firma Rusia yang mempunyai kaitan dengan komplek industri ketenteraan negara itu.
Walaupun tidak dapat mengesahkan komponen Jatronics digunakan dalam peralatan ketenteraan, pegawai AS mendakwa syarikat itu membekalkan barangan yang termasuk dalam senarai Jabatan Perdagangan sebagai ‘barangan keutamaan tinggi biasa’ yang kritikal untuk sistem senjata berpandu tepat
Sekatan ini bermakna bahawa mana-mana aset di AS yang dimiliki oleh entiti yang disasarkan akan dibekukan sementara urusan dengan negara-negara di bawah bidang kuasa AS akan dilarang, secara efektif memutuskan hubungan dengan sistem kewangan AS.
Menurut Pusat Pengajian Pertahanan Maju (C4ADS), Jatronics telah menghantar komponen semikonduktor, wafer dan mikrocip ke Rusia antara April hingga September 2022 bernilai $3 juta (~RM14.1 juta).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada hari ini menjelaskan Jatronics Sdn Bhd tidak beroperasi sebagai pengeluar semikonduktor di Malaysia.
Sebaliknya, syarikat tersebut berfungsi sebagai syarikat perdagangan terlibat dalam perdagangan borong produk semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi.
Insiden ini mendatangkan impak kepada industri semikonduktor Malaysia yang kini menerima pelbagai pelaburan dari syarikat Barat dan China kerana dilihat sebagai negara yang neutral.
Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat menguntungkan Malaysia kerana berkemampuan menghasilkan cip sejak lebih 40 tahun.