Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, menegaskan bahawa isu jerebu dan pembakaran hutan di rantau ini tidak sepatutnya dijadikan sebagai konflik nasionalisme antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya merupakan perjuangan rakyat kedua-dua negara menentang pihak yang merosakkan alam sekitar demi keuntungan perniagaan.
Dalam satu hantaran video di TikTok, Syed Saddiq memberi maklum balas tegas terhadap dakwaan kenyataan seorang bekas ahli politik Indonesia isu pencemaran udara dan penglibatan syarikat-syarikat perladangan.
“Bapak, ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Bendera kita berbeza, tapi bila sesak nafas, deritanya sama. Kalau ada bukti hukum, saya tak akan jadi pelindung pencemar walaupun dari negara saya sendiri,” tegas beliau.
Tiga Tindakan Utama Berdasarkan Data dan Fakta
Syed Saddiq menggariskan tiga tindakan dan fakta penting bagi menangani isu pembakaran hutan yang mencetuskan jerebu rentas sempadan:
1. Tindak Pelaku Tanpa Mengira Bendera: Beliau mendesak agar tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana syarikat yang terbukti melanggar undang-undang pembakaran hutan tanpa mengira sama ada mereka dari Malaysia, Indonesia, atau Singapura. Beliau turut mengingatkan bahawa beliau sendiri pernah mendesak di Parlimen Malaysia agar tindakan tegas diambil terhadap syarikat Malaysia yang terlibat.
2. Keluasan Ladang Bukan Bukti Bersalah: Menjawab isu syarikat perladangan seperti SD Guthrie, Syed Saddiq menjelaskan bahawa bersaiz besar tidak bermakna sesebuah syarikat itu berpunca sebagai pencetus kebakaran. Beliau menambah syarikat berkenaan mempunyai lebih 1,000 anggota pemadam kebakaran yang terlatih serta kelengkapan pemantauan dron dan inframerah dengan perbelanjaan mencecah RM800,000 sebulan untuk menangani isu ini.
3. Jangan Memetik Laporan Secara Separuh: Beliau mengulas mengenai laporan Greenpeace yang merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK daripada keseluruhan 6,811 titik yang terindikasi. Syed Saddiq mengingatkan agar tidak hanya berfokus kepada penyumbang sebanyak 0.3 peratus lalu mengabaikan 99.7 peratus punca kebakaran yang lain.
Keuntungan Syarikat, Rakyat Yang Menanggung Azab
Mengulas lanjut, Syed Saddiq membidas tindakan pihak yang membakar hutan demi meraih keuntungan cepat.
“Bila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia pun sesak nafas,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Malaysia sebelum ini telah menawarkan bantuan logistik termasuk pesawat, tiga helikopter, dan pasukan anggota bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia.
Mengakhiri kenyataannya, Syed Saddiq menyeru agar pihak berkuasa dan masyarakat memberi tumpuan kepada perlindungan nyawa manusia berbanding mempertahankan pesalah disebabkan kewarganegaraan.
“Jerebu tidak memilih warna kulit, agama, atau kewarganegaraan. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya,” tambah beliau.