Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) khas bagi kanak-kanak Autisme yang pertama di Malaysia akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Perkembangan terkini itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
Baca Juga:
- Shila Amzah Sahkan Anaknya Ada Autisme
- Guru Hina Murid Sendiri Yang Autisme Rupa Rupanya Ada Anak Istimewa
- Bantu Tenangkan Anak Autisme, Servis ‘Butterfly Effect’ Di KLIA Ini Raih Pujian Netizen
Cadangan pelaksanaan perkara tersebut sudah dibincangkan oleh Akmal bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
KEMAS merupakan jabatan yang berada di bawah kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Melaka bakal menjadi perintis kepada pengenalan TABIKA KEMAS pertama yang memberikan tumpuan kepada golongan kanak-kanak tersebut.
“Cadangan perlaksanaan tabika kemas autisme pertama di Malaysia diterima dengan baik dan akan dimulakan di Melaka InsyaAllah pada tahun hadapan.”
“TABIKA KEMAS ini akan dibuka di setiap daerah (seluruh Melaka) dan keutamaan kepada anak-anak autisme daripada golongan B40 terlebih dahulu.”
“Hal ini kerana antara keluhan yang kita dapati adalah dari segi kos untuk kelas terapi di pusat swasta adalah tinggi dan sangat terkesan untuk ibu bapa ini menghantar anak2 syurga mereka ke pusat terapi.”
“Kita tidak mahu disebabkan kekangan kewangan anak-anak syurga ini tercicir peluang pelajaran mereka. Kita dengar, kita faham dan kita selesaikan,” tambah Akmal yang juga merupakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka.
Dalam menjawab komen daripada pembaca yang mahukan usaha ini dibawa ke negeri lain, Dr Akmal menyatakan sekiranya modul di Melaka tersebut berjaya, beliau akan mengusulkan kepada pihak terlibat supaya memperluaskannya ke setiap daerah di seluruh negara.