Lebih 80 peratus daripada 4.1 juta pendeposit yang berdaftar untuk menunaikan haji berdepan risiko kehilangan kedudukan giliran asal sekiranya gagal mencukupkan simpanan minimum RM15,000 sebelum tempoh peralihan berakhir pada 31 Disember 2028, petik Berita Harian.

Bermula 1 Januari 2029, Lembaga Tabung Haji (TH) akan menguatkuasakan penyusunan semula kelayakan giliran haji secara menyeluruh. Di bawah pelaksanaan ini:

1. Kedudukan giliran tidak lagi bergantung kepada tarikh pendaftaran semata-mata bagi pendeposit yang mempunyai simpanan kurang daripada RM15,000.

2. Prinsip ‘siapa dahulu, didahulukan’ hanya terpakai kepada pendeposit yang memenuhi syarat kesiapsiagaan kewangan RM15,000 berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran asal mereka.

3. Penyelarasan semula bagi pendeposit lewat: Pendeposit yang hanya mencukupkan akaun pada atau selepas 2029 memang akan kembali memenuhi syarat kelayakan, namun mereka tidak akan mendapat semula kedudukan giliran asal secara automatik.

4. Tiada pengecualian khas diberikan: Syarat ini terpakai secara samarata tanpa sebarang pengecualian berasaskan umur, kumpulan pendapatan (termasuk B40), warga emas, mahupun tempoh masa pendaftaran.

Langkah ini diambil susulan data Tabung Haji yang menunjukkan 53 peratus daripada keseluruhan 9.8 juta pendeposit kini mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300, sekali gus menampakkan jurang ketara antara pendaftaran giliran dengan kesediaan kewangan sebenar.

Jumlah RM15,000 ditetapkan sebagai penanda aras asas kesiapsiagaan kewangan merujuk kepada kadar minimum bayaran haji semasa bagi kumpulan B40.

Menurut Tabung Haji, dasar berdasarkan prinsip Istito’ah ini bertujuan membentuk sistem giliran yang lebih adil dan dijangka mampu memendekkan tempoh menunggu jemaah daripada 147 tahun kepada sekitar 68 tahun.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang dilancarkan pada 11 September lalu bagi menggantikan proses pengurusan giliran sedia ada.

Para pendeposit menggalas tanggungjawab untuk memanfaatkan tempoh peralihan sehingga akhir 2028 bagi meningkatkan simpanan secara berperingkat demi mengekalkan kelayakan giliran masing-masing.

Sumber