Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.
Baca Juga:
- ‘Bakal Jemaah Haji Perlu Muat Turun Aplikasi Saudi Visa Bio’- Lembaga Tabung Haji
- Wanita Dakwa RM30,000 Dalam Tabung Haji ‘Hilang’, Rupanya Dipindahkan Ke Akaun Bank Sendiri
- Hibah Tabung Haji Diumumkan Dengan Agihan Pada Kadar 3.05 Peratus
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH dan juga setelah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.
“Agihan keuntungan 2023 dibuat setelah penyata kewangan TH tahun 2023 selesai diaudit Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai.
“Terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah United Kingdom (UK).
“Agihan keuntungan bagi tahun 2023 juga mematuhi Akta Tabung Haji 1995,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH pada Selasa.
Pengiraan agihan keuntungan 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun dan para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari ini.