Media Prima Berhad (Media Prima) mengaktifkan semula Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima susulan krisis kemanusiaan terkini di Palestin.

Menurut Media Prima, tabung itu bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai untuk membiayai aktiviti bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas dalam zon konflik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Media Prima amat bersimpati dengan nasib rakyat Palestin. Pengaktifan semula ini bertujuan menggalakkan sumbangan orang ramai kepada tabung bagi menyediakan bantuan kecemasan.

“Bantuan kecemasan antaranya membabitkan bekalan dan perkhidmatan perubatan, bekalan makanan dan keperluan asas kepada komuniti yang terperangkap dalam krisis itu,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, sumbangan dalam bentuk cek boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 5, Anjung Riong, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sabtu lalu, tentera Hamas mengisytiharkan serangan terbesar ke atas pencerobohan rejim Israel di Palestin dengan lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel melalui ‘Operation al-Aqsa Flood’.

Perkembangan terkini daripada konflik kemanusiaan yang berterusan di Palestin mengakibatkan lebih 20,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, ratusan kematian dilaporkan, ribuan cedera dan ribuan lagi dilaporkan hilang.