Tahap kesihatan kewangan rakyat Malaysia kini berada dalam landasan yang baik meskipun berdepan dengan cabaran pasca pandemik, kata Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), Eric Chin.
Beliau berkata laporan kredit pengguna CTOS di Malaysia menunjukkan peningkatan positif dalam purata skor sejak tiga tahun lalu iaitu daripada 663 kepada 678 skor.
Baca Juga:
- Bank Negara Malaysia Kekalkan Lagi OPR Pada 3 Peratus
- GXBank Menjadi Bank Digital Pertama Di Malaysia Yang Disahkan BNM
- Rakyat Malaysia Ini Cadang PMX ‘Bank In’ RM6,000 Sebulan Untuk Bantu Orang Miskin
Tinjauan CTOS, mereka mendapati aliran tersebut didorong hasil pemahaman rakyat negara akan kepentingan pengurusan wang. Peningkatan skor itu secara langsung menunjukkan tahap pinjaman rakyat juga semakin baik.
“Jadi semakin tinggi skor bagi seseorang individu semakin tinggi peluang untuk mereka mendapatkan pinjaman,” katanya lagi sewaktu sidang media pada hari semalam.
Terdapat lima negeri yang menunjukkan prestasi positif setakat ini iaitu Pulau Pinang (689), Selangor (682), Kuala Lumpur (681), Perak (680) dan Melaka (680).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger menyasarkan agensi pelaporan kredit itu mampu mencapai 3.3 juta pengguna yang berdaftar dengan platform itu menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata setakat ini syarikat itu mempunyai kira-kira tiga juta pengguna aktif bagi menyemak skor dan kelayakan kredit serta pengurusan kewangan mereka.