Goh Cheng Liang, pengasas Wuthelam Holdings, pemegang saham Nippon Paint yang tersenarai di Tokyo telah meninggal dunia pada usia 98 tahun.
Berita itu disahkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wuthelam pada 12 Ogos, lapor The Edge Singapura.
Baca Juga:
- Hulk Hogan Meninggal Dunia Di Usia 71 Tahun

- Selepas 20 Tahun Koma, ‘Sleeping Prince’ Arab Saudi Meninggal Dunia

- Terkini: Diogo Jota Dilaporkan Meninggal Dunia, Terlibat Dalam Kemalangan

Punca kematiannya tidak dinyatakan.
Goh yang dilahirkan di Singapura pada tahun 1927, merupakan antara tokoh korporat Singapura yang kaya-raya, namun memilih untuk menjadi low profile.

Memetik laporan South China Morning Post, beliau menghabiskan 12 tahun pertama hidupnya di sebuah bilik sewa dalam rumah kedai di River Valley bersama ibu bapa, tiga orang kakak dan seorang abang.
Beliau kemudian memilih lokasi itu sebagai tapak untuk membangunkan salah satu projek hartanah paling ikoniknya, Liang Court, pada awal 1980-an.
Pusat beli-belah itu merupakan yang pertama dibina di sepanjang River Valley Road, yang kini menjadi kawasan tumpuan hiburan malam di negara kota tersebut.

Semasa kecil, Goh meninggalkan rumahnya di River Valley untuk ke Muar, Tanah Melayu apabila Perang Dunia Kedua meletus.
Di sana, beliau membantu abang iparnya menjual jaring ikan sepanjang tempoh perang.
Selepas perang, Goh yang tidak pernah menerima pendidikan formal selepas kembali semula ke Singapura. Beliau memulakan perniagaan minuman berkarbonat yang kemudiannya gagal, sebelum menjadi perintis di sebuah kedai perkakasan.
Pada tahun 1949, tentera British melelong lebihan bekalan perang, dan Goh memperoleh tong-tong ‘cat rosak’.
Mulakan jenama sendiri, kemudian dilantik pengedar Nippon Paint

Bersandarkan sebuah kamus bahasa Cina dan sedikit pengetahuan tentang cat hasil daripada kursus latihan di Denmark yang dihadirinya semasa menjadi perintis, beliau mencampurkan warna dan pelarut untuk menghasilkan cat jenama Pigeon Brand.
Perniagaannya melonjak pada tahun 1950 semasa sekatan import akibat Perang Korea, dan Goh ditawarkan menjadi pengedar untuk Nippon Paint.
Keuntungan besar sekali lagi diraih semasa krisis minyak 1973 apabila harga cat melambung, membolehkan Goh menjual stok berlebihan dari kilangnya di Indonesia dengan margin keuntungan yang tinggi.
Anak sulung Goh, Hup Jin, mula mengetuai syarikat itu pada tahun 1980-an dan memulakan usaha untuk mengambil alih Nippon Paint pada 2012, namun rundingan tersebut tergendala dan akhirnya membawa kepada kerjasama strategik yang lebih mendalam pada 2014, menurut laporan Bloomberg.
Pada tahun 2021, Wuthelam Holdings membayar USD12 bilion (RM50.6 bilion) untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Nippon Paint Holdings, sekali gus meningkatkan kekayaannya kepada USD$24 bilion (RM101.28 bilion) berbanding AS$16 bilion (RM67.52 bilion) sebelum pengumuman perjanjian itu, berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg.
Selain bidang cat, Wuthelam Holdings turut menceburi pelbagai sektor lain seperti perdagangan, pembuatan makanan, logistik, serta hartanah.