Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC) Taiwan mengumumkan pada Rabu bahawa pihak berkuasa telah menyekat cadangan pengambilalihan perniagaan penghantaran Foodpanda di Taiwan oleh syarikat gergasi Grab.
Keputusan tersebut dibuat atas faktor kebimbangan terhadap monopoli dan persaingan tidak sihat dalam pasaran tempatan.
Sebelum ini, Grab mengumumkan pada Mac lalu untuk membayar US$600 juta (RM2.4 bilion) secara tunai bagi memiliki perniagaan Foodpanda di Taiwan.
Langkah tersebut menandakan usaha pengembangan perniagaan pertama Grab di luar rantau Asia Tenggara, petik The Edge Malaysia.
Walau bagaimanapun, pihak FTC Taiwan menegaskan bahawa kesan buruk terhadap persaingan pasaran adalah lebih besar berbanding manfaat ekonomi yang ditawarkan melalui penyatuan kedua-dua gergasi perkhidmatan tersebut.
“Kemudaratan terhadap persaingan akibat cadangan perjanjian ini melebihi faedah ekonomi keseluruhannya,” jelas kenyataan rasmi FTC Taiwan.
Pihak suruhanjaya turut menambah bahawa komitmen yang ditawarkan oleh kedua-dua syarikat terbabit adalah tidak mencukupi untuk menghapuskan kebimbangan berkaitan persaingan pasaran.
Menjawab keputusan berkenaan, pihak Grab meluahkan rasa kecewa namun menegaskan bahawa fokus utama syarikat tidak terjejas.
“Grab kecewa dengan keputusan ini. Perniagaan teras Grab di seluruh Asia Tenggara kekal kukuh. Kami akan terus menumpukan modal dan sumber kami untuk melaksanakan pelan pembangunan serta memperkasakan komuniti di rantau ini,” kata jurucakap syarikat itu.
Dalam pada itu, syarikat induk Foodpanda, Delivery Hero, turut mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan tersebut dan mengesahkan keberadaan fasal perlindungan dalam perjanjian awal mereka.
“Di bawah syarat-syarat transaksi, pihak syarikat mempunyai perlindungan perjanjian yang bersesuaian, termasuk pengaturan yuran pembatalan (break fee), tertakluk kepada syarat-syarat tertentu,” menurut kenyataan Delivery Hero.
Keputusan FTC Taiwan ini sekali gus menamatkan spekulasi penggabungan dua entiti penghantaran makanan terbesar di wilayah berkenaan, di samping mengekalkan struktur persaingan pasaran sedia ada bagi perkhidmatan penghantaran di Taiwan.