PDRM FC kini sedang giat mempersiapkan pasukan bagi mengharungi musim baharu 2025-2026 pada Ogos depan yang dijangka lebih mencabar.
Dengan bajet yang lebih kecil berbanding kelab lain yang berstatus negeri, PDRM tidak mahu cepat mengalah biarpun menyedari cabaran baharu bakal dihadapi termasuk kehadiran kelab dari Brunei, DPMM FC dan pertambahan kuota 15 pemain import dalam senarai 30 pemain.
Baca Juga:
- PDRM FC Rehatkan P. Maniam Jelang Aksi Bertemu Selangor
- MFL Umum DPMM FC Sertai Liga Super 2025-2026
- Pegawai Selangor FC Dianggap Tidak Profesional Selepas Keluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Pengamal Media
Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin menganggap pertambahan pemain import dalam Liga Malaysia hanya satu cabaran taktikal yang harus ditangani dengan kebijaksanaan, bukan semata-mata memenuhi kuota dalam pasukan.

“Secara praktikalnya, pemilihan dan kuota bergantung pada kebijaksanaan jurulatih berdasarkan keperluan sebenar di atas padang. Saya boleh cakap sepanjang musim lepas, kami daftar tujuh pemain import, tapi tidak semuanya digunakan sepenuhnya dalam perlawanan.
“Kita sedang bekerja keras untuk susun barisan terbaik dan kita tahu banyak pasukan lain juga sudah bersiap sedia. Kita tak mahu ketinggalan. Kita sedang menilai beberapa import baharu dan juga akan kekalkan beberapa pemain tempatan sedia ada,” jelas beliau.
PDRM Fokus Kestabilan Pasukan
Mengulas tentang kekangan kewangan musim lalu (2024-2025), Hafiz mengakui PDRM FC melalui satu perjalanan mencabar namun tetap mampu bertahan sehingga ke penghujung musim.
“Kalau kita sebut tentang bajet, ya, kita agak terkesan musim lalu. Tapi kami berjaya harunginya. Ia bukan halangan untuk terus maju dan perkemas pasukan musim ini.

“Yang penting, kita guna sebaiknya import yang ada. Bukan sekadar ambil ramai tapi akhirnya tidak beri impak di atas padang. Ini soal pengurusan skuad, bukan soal angka,” ujar beliau.
Jelasnya, pasukan tidak akan menggunakan sepenuhnya kuota import 15 pemain seperti yang dibenarkan, namun fokus utama adalah untuk memaksimumkan potensi import yang dibawa masuk.
PDRM FC dijangka mengekalkan struktur sedia ada sambil melakukan penambahbaikan minimum untuk memastikan kestabilan pasukan terus kekal dalam kancah liga profesional tanah air.