The Green Brigade atau Briged Hijau telah menunjukkan satu lagi paparan pro-Palestin. Dan kali ini dalam aksi UCL menentang Borussia Dortmund.

Ketika pasukan Brendan Rodgers sudah ketinggalan 5-1 pada separuh masa – kumpulan ultras melancarkan persembahan pyro kedua pada malam itu.

Sebelum aksi berlangsung di Signal Iduna Park, peminat-peminat Celtic yang mengembara mengadakan pertunjukan suar besar-besaran sambil mengalu-alukan pasukan mereka ke padang.

Penonton telah diberi amaran bahawa sesiapa yang ditangkap dengan peranti sedemikian akan ditangkap dan dihalau.

Dalam kenyataannya, Polis Dortmund berkata: “Kami sedar bahawa menyokong pasukan adalah bahagian penting dalam perlawanan.

“Namun begitu, kami ingin memaklumkan bahawa membawa dan membakar suar, bom asap, bunga api, atau mana-mana piroteknik lain yang tidak diluluskan adalah dilarang di dalam stadium dan juga di kawasan awam.

“Sebarang pelanggaran akan membawa kepada akibat undang-undang dan akan dihukum. Polis Dortmund tidak akan membenarkan sebarang bentuk salah laku dan mungkin akan mengecualikan penyokong tersebut daripada perlawanan.”

Itu tidak menghalang beberapa penyokong Celtic yang bersungguh-sungguh untuk menyatakan mesej mereka dengan jelas tentang perkara-perkara di luar padang bola sepak.

Briged Hijau telah lama menjadi penyokong perjuangan Palestin kerana situasi di Timur Tengah itu sejak dari dulu lagi. Ini ditambah dengan situasi semasa yang terus meruncing.

Mereka juga menjadi ultras yang sudah beberapa kali didenda atau yang paling banyak didenda kerana solidariti ke atas Palestin.

Kelab Celtic sendiri sebelum ini mengeluarkan arahan agar tiada lagi solidariti seperti itu dibuat. Namun penyokong mereka membidas kelab yang dianggap tidak ada akal dan budi dalam perkara itu.

Semalam sebahagian penyokong boleh dilihat berpakaian putih dengan penutup muka dan kemeja-T yang tertera “Bebaskan Palestin” ketika mereka menerangi stadium dengan suar mereka. Mereka turut melaungkan Bebaskan Palestin.

Mereka tidak peduli dengan amaran UEFA kepada mereka sebelum ini. Di mana UEFA tidak membenarkan sebarang kempen yang berkaitan dengan konflik di Timur Tengah kerana ianya dianggap campur tangan dalam isu politik dalam bola sepak.