Jika dahulu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bergerak secara bersembunyi di sebalik kegelapan malam, hari ini senarionya sudah jauh berubah.

Perkhidmatan “jalur belakang” atau pintu masuk haram kini dipromosikan secara terbuka di media sosial seperti TikTok dan Threads, seolah-olah ia satu pakej pelancongan yang sah.

Pendedahan tular oleh seorang netizen tempatan baru-baru ini membongkar bagaimana akaun media sosial digunakan sebagai platform utama untuk mengiklankan dan menempah tiket perjalanan haram merentas sempadan Malaysia-Indonesia.

Pakej ‘Jalur Belakang’ Lengkap Dengan Harga

'Tak Pijak Lumpur, Tak Berenang' – Tular Akaun TikTok Promosi 'Speedboat Hantu' Masuk Malaysia Secara Haram
Sumber Gambar: TikTok

Menerusi carian di media sosial, akaun seperti “Pak Dollah Speedboat” tanpa segan silu menawarkan perkhidmatan pengangkutan laluan belakang dengan gelaran Speedboat Hantu.

Di ruangan komen, pengguna media sosial bertanyakan harga tiket bagi pelbagai laluan, dan jawapan diberikan secara terbuka oleh pengendali akaun:

* Selangor – Dumai: Sekitar RM1,450

* Tanjung Balai – Kuala Lumpur: Dikenakan bayaran sekitar 4.5 juta Rupiah (kira-kira RM1,300–RM1,400)

* Batam – Kukup (Johor): Secara purata berkisar antara RM1,500 hingga RM2,200)

Malah, ruangan komen penuh dengan pertanyaan mengenai tahap keselamatan (“aman ke bang?”) serta laluan popular lain seperti Johor ke Batam dan Surabaya ke Selangor.

'Tak Pijak Lumpur, Tak Berenang' – Tular Akaun TikTok Promosi 'Speedboat Hantu' Masuk Malaysia Secara Haram
Sumber Gambar: Threads

Trik ‘Tak Pijak Lumpur’ & Tepi Pantai

Apa yang membimbangkan ialah keyakinan pihak “tekong” dalam menjanjikan keselesaan kepada penumpang mereka. Antara ayat promosi yang digunakan termasuklah “tak pijak lumpur, tak berenang”, memberikan gambaran bahawa perjalanan tersebut mudah dan berisiko rendah.

Modus operandi yang digunakan merangkumi dua cara utama:

1. Jalur Laut & Sungai Terpencil: Menggunakan bot laju (speedboat) berkuasa tinggi untuk menurunkan penumpang terus di kawasan tebing atau pantai terpencil (naik tepi, turun tepi).

2. Menyamar Sebagai Pelancong: Menggunakan laluan feri rasmi di jeti antarabangsa (seperti dari Batam ke Kukup), di mana sindiket dipercayai memanipulasi proses dokumen atau menyamar sebagai pelawat harian.

Netizen Resah, Persoal Kawalan Sempadan

Pendedahan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen tempatan. Ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila aktiviti jenayah merentas sempadan ini boleh dipromosikan secara bebas di alam maya.

Persoalan utama yang dibangkitkan ialah bagaimana iklan sebegini boleh beroperasi tanpa tindakan pantas, sedangkan maklumat laluan, nombor telefon, dan harga telah dipaparkan secara jelas. Netizen turut menggesa pihak berkuasa keselamatan dan agensi penguatkuasaan sempadan agar mengambil tindakan tegas terhadap sindiket ini.

Isu pencerobohan sempadan secara haram bukan sahaja menyentuh soal kedaulatan undang-undang, malah melibatkan aspek keselamatan negara secara menyeluruh.

Selain pemantauan fizikal di perairan negara, tindakan agresif melumpuhkan akaun-akaun promosi di media sosial serta kerjasama erat antara agensi penguatkuasa amat diperlukan bagi menghentikan laluan haram ini daripada terus membarah.