Pada hari semalam tular satu rakaman video dashcam  menunjukkan seorang remaja lelaki menikam pemandu e-hailing.

Dalam satu kemaskini terbaharu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata remaja terbabit sudah pun ditangkap selepas dua jam laporan dibuat oleh pemandu berkenaan pada jam 8 malam tadi.

Baca Juga:

Menurut Zaidy, hanya kerana tidak puas hati dimaki ketika mengambil semula wang tambang dipercayai menjadi punca menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak di luar kawalan dengan mengacu pisau di dada kiri pemandu kenderaan itu, semalam.

Berdasarkan laporan, warga emas terbabit menerima pesanan penumpang melalui aplikasi Grab pada jam 5.43 petang semalam untuk mengambil penumpang terbabit di Lorong Taman Keladi, di sini.

Beliau berkata, sewaktu dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang iaitu remaja lelaki terbabit meminta meminjam wang sebanyak RM50 untuk membayar sewa rumah.

“Bagaimanapun pemandu itu memberitahu jika tiada wang, dia terpaksa menurunkan penumpang terbabit di lokasi berkenaan namun remaja terbabit enggan dan meminta membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar tambang itu.

“Namun sampai di rumah berkenaan, remaja terbabit meminta membawanya semula ke Taman Keladi dan menerima bayaran sebanyak RM18 daripada remaja berkenaan dan turut melengahkannya kerana membawanya ke beberapa lorong kecil.

“Pengadu terpaksa menurunkan penumpang itu di lokasi berkenaan dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9 dan penumpang itu memberikan wang RM20,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, polis berjaya merampas sebilah pisau berhulu Hitam berukuran 25 sentimeter (cm) yang dibawa remaja lelaki berkenaan dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Hasil siasatan mendapati, remaja lelaki itu adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukan di kalangan keluarga bermasalah.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca disebabkan suspek marahkan pemandu terbabit kerana dimaki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang menyebabkan dia bertindak sedemikian.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati remaja itu bebas dari pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan remaja lelaki itu direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Sumber