Hujung minggu yang lalu, pelumba negara Hafizh Syahrin terlibat dalam kemalangan ngeri ketika perlumbaan kategori Moto2 dalam kejohanan dunia MotoGP yang berlangsung di Austria.
Hafizh ketika itu yang datang dari belakang dan berada dalam kedudukan slipstream (mencucuk) pelumba lain tidak berjaya mengelak motosikal milik Enea Bastianini yang terjatuh sekaligus mencetuskan antara kemalangan yang paling ngeri pernah disaksikan dalam sejarah MotoGP.
Berpunca daripada perlanggaran itu, Hafizh dapat dilihat dengan jelas melayang ke tengah litar dan motosikalnya pula hancur dengan sebahagian besar komponen jenteranya berterbangan di udara.
Apa yang berlaku menurut Hafizh
Sehingga semalam, peminat-peminat dan rakyat Malaysia masih lagi ternanti-natikan untuk mendengar daripada Hafizh sendiri untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.
Hafizh yang dibawa ke hospital sejurus kemalangan itu sebelum ini difahamkan belum memberikan sebarang kenyataan dan hanya memberitahu keadaannya yang kini stabil melalui perkongsian di media sosial.
Bagaimanapun, dalam laporan segmen sukan yang terbit di Buletin Utama pada semalam, Hafizh memberikan penjelasan panjang lebar mengenai kejadian yang berlaku pada Ahad lalu. Dalam temubual yang dibuat melalui panggilan telefon itu, Hafizh menceritakan daripada sebelum kemalangan sehingga dia dibawa ke hospital oleh pasukan paramedik.
Tidak brek dan full throttle
Menurut Hafizh, ketika sebelum kemalangan tersebut berlaku dia memang mengetahui ada pelumba di hadapannya yang sudah terlibat dalam kemalalangan kerana dapat melihat Enea Bastianini berlari ke luar litar.
Bagaimanapun beiau yang ketika itu berada dalam keadaan slipstream pelumba lain dan cuba memotong Jake Dixon tidak menyangka motosikal yang ditinggalkan Bastianini itu berada di tengah-tengah litar.
“Saya tahu yang Bastianini jatuh saya nampak dia berlari tapi saya tak sedar motosikal dia ada dekat situ jadi bila saya ketengah saja saya tak boleh buat apa .
“Saya tak brek saya tak tutup minyak saya just full throttle , time tu kelajuan dalam 160-180 km/j. Kalau saya brek saya akan lagi senang patah kedua-dua tangan saya just full throttle dan bila dekat dengan motosikal itu saya lepaskan terus tangan saya.
Walaupun berjaya mengawal pelanggaran tersebut sebaik mungkin dan mendarat dengan badannya (bukan kaki dan tangan) namun Hafizh menceritakan dia masih melalui detik-detik cemas selepas itu.
Selepas luncuran yang dialaminya di litar yang berpunca dari pelanggaran itu berhenti, Hafizh memberitahu beliau tidak boleh merasakan apa-apa di bahagian bawah badannya.
“Saya tiba-tiba tak rasa dari bahagian pinggang saya ke bawah dekat kaki dan saya tidak boleh bergerak langsung.
“Saya masih sedar waktu itu cuma tak berapa kuat dan masa ambulans datang ramai-ramai dekat keliling ,saya boleh cakap saya tak rasa bahagian bawah saya tak rasa kaki apa semua,” kongsinya dalam temu bual tersebut.
Bagaimanapun, Hafizh berkata semuanya berubah selepas dia dibawa ke pusat perubatan di mana dia diberikan rawatan selepas sut perlumbaan yang dipakainya dipotong oleh kakitangan perubatan.
Beberapa minit selepas rawatan Hafizh memberitahu dia mula merasakan kembali jarinya sedikit demi sedikit dimana dia menjelaskan darah di keseluruhan badannya mula berjalan seperti biasa.
Walaupun kemalangan yang dilalui Hafizh itu boleh dikatakan antara yang paling mengerikan pernah disaksikan namun beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan sudah mampu berjalan dengan menggunakan tongkat.
Hafizh bagaimanapun perlu menjalani pemeriksaan sekali lagi pada Khamis ini sebelum diisytiharkan cergas untuk dibenarkan menyertai perlumbaan seterusnya hujung minggu ini.
Anda boleh menonton perkongsian penuh Hafizh Syahrin yang disiarkan dalam Buletin Utama pada semalam bermula dari minit ke 37.00 dalam video di bawah.
Hafizh Syahrin sebelum ini pernah membuat kerja gila dengan bertanding dalam perlumbaan kereta dan motosikal dalam hujung minggu yang sama. Baca perkongsian kami di pautan di bawah.
Hafizh Syahrin Buat Kerja ‘Gila’, Sertai Perlumbaan Kereta 1,000km Di Sepang