Warga kota yang berulang-alik kerja setiap hari pasti pernah berdepan pengalaman kurang menyenangkan sewaktu melintasi jalan berlubang. Selain merosakkan rim dan tayar kenderaan, permukaan jalan yang tidak rata juga menjejaskan keselesaan serta keselamatan pemandu.
Bagaimanapun, berita baik buat warga Kuala Lumpur apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini tampil dengan peruntukan khas melebihi RM100 juta bagi menyelesaikan masalah ini secara komprehensif.
Menerusi Program Turapan Lapan Jalan, kawasan seluas 1.3 juta meter persegi merangkumi laluan sepanjang 59 kilometer bakal diberi nafas baharu.
Inisiatif ini bukan sekadar penampalan biasa, sebaliknya menyasarkan peningkatan jangka hayat turapan hingga 50 peratus serta memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas daripada isu jalan berlubang.
Bukan Tampal Cincai, Ini Penggunaan Teknologi Berkualiti
Jika sebelum ini ramai gusar jalan yang ditampal mudah rosak semula, pendekatan kali ini jauh berbeza. DBKL menggunakan kaedah pengisaran dan penurapan semula bersama premix jenis Stone Mastic Asphalt (SMA14) serta cat thermoplastic yang mempunyai kebolehan memantulkan cahaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan bahawa fokus utama Belanjawan DBKL 2026 adalah kembali kepada perkhidmatan asas demi kebajikan warga kota lapor Harian Metro.
“Bagi perbelanjaan kali ini, jangka hayat jalan dijangka meningkat hingga 50 peratus berbanding tampalan biasa sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan hingga 40 peratus. Perbelanjaannya besar, tetapi kita mahu pastikan ia berbaloi,” kata Hannah Yeoh sewaktu tinjauan malam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud turut menambah bahawa kaedah penurapan komprehensif ini memberikan ketahanan struktur yang jauh lebih kukuh berbanding tampalan konvensional, manakala garisan jalan berlampu memantul cahaya membantu kejelasan penglihatan pemandu sewaktu malam.
Dibuat Waktu Malam Demi Elak Kesesakan Trafik
Satu perkara yang menarik mengenai projek ini adalah jadual kerjanya yang sangat mengutamakan keselesaan pengguna jalan raya. Memandangkan laluan yang terlibat merupakan arteri utama ibu negara, kerja-kerja penurapan hanya dilakukan pada sebelah malam bermula jam 10 malam hingga 5 pagi.
“Kerja-kerja ini dimulakan pada waktu malam supaya tidak mengganggu waktu puncak trafik. Pengguna diminta bersabar kerana jalan raya utama ini tidak boleh ditutup sepenuhnya. Ini keseimbangan terbaik yang boleh kita laksanakan,” ujar Hannah Yeoh.
Pembahagian Fasa dan Laluan Utama Yang Terlibat
Pelaksanaan projek ini dibahagikan kepada dua fasa dengan tempoh 24 minggu bagi setiap fasa:
Fasa Pertama (Bermula bulan ini dengan kos RM61.64 juta):
* Lebuhraya Sultan Iskandar – Jalan Damansara – Jalan Istana
* Bulatan Syed Putra – Mid Valley Megamall (arah masuk dan keluar)
* Jalan Sultan Ismail (susur Jalan Kuching – Jalan Imbi)
* Jalan Ampang (susur Intermark – Jalan Raja Chulan)
* Susur masuk lebuh raya berhadapan lapangan terbang lama (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya SPE serta susur masuk Lebuhraya SPE – pintu gerbang (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 2)
Fasa Kedua (Dijadual bermula September depan dengan kos RM43 juta):
* Bulatan Batu Caves – Simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu)
* Bulatan Kampung Pandan – Menara PJD (Jalan Tun Razak)
* Pintu gerbang – sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3)
Langkah drastik DBKL ini sudah tentu memberi lega buat pengguna jalan raya. Perjalanan harian kini bukan sahaja lebih mulus, malah pemanduan pada waktu malam juga terasa jauh lebih selamat dan selesa.