Pada pagi semalam Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Selangor telah memasang perangkap untuk menangkap seekor buaya yang kelihatan di Tasik Seksyen 7 Shah Alam.
Tidak sampai tempoh 24 jam, buaya tersebut telah masuk ke dalam perangkap kira-kira pukul 10.30 malam semalam, lapor Berita Harian.
Baca Juga:
- Muncul Kelibat Buaya, MBSA Pasang Tali Penghadang Sekitar Tasik Shah Alam
- Buaya Tenang Berjemur Tengah Panas Cetus Keresahan Penduduk Subang Jaya
- Bapa Meraung Tidak Berdaya Selamatkan Anak Dibaham Buaya, Kata-Kata Perakam Buat Netizen Marah
“Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter berusia sekitar tiga hingga lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.
“Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak,” kata Pengarah PERHILITAN Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh.
Tambahnya lagi, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik pada waktu malam bermula malam ini juga mendorong reptilia itu memasuki perangkap kerana suasana sunyi dan tiada gangguan.
Pada masa sama bagi memastikan tiada buaya lain di kawasan berkenaan, PERHILITAN meminta MBSA terus menutup taman tasik itu pada waktu malam bagi tempoh sehari dua lagi.
Sementara buaya yang berjaya ditangkap telah dipindahkan ke Paya Indah Wetlands malam semalam juga.
Memetik laporan itu lagi, buaya berkenaan berkemungkinan sesat ketika hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.