Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebuah Lamborghini Huracán yang dalam perjalanan untuk dijual.
Sitaan itu dibuat selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh selama 15 bulan dalam satu pemeriksaan Ops Luxury di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor baru-baru ini.
Baca Juga:
- Cakap Melayu, ‘English’ Tak Boleh, JPJ Terpaksa Soal Siasat Guna ‘Online Translator’

- Bawa ‘Awek’ Jalan Naik GT-R Sewa, Akhirnya Kereta Disita JPJ

- Jarang Nampak Di Malaysia, JPJ Kedah Sita ‘Bumblebee’

Memetik Kosmo, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu sedang dalam perjalanan ke Setia Alam untuk urusan jual beli kereta mewah berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut gagal mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati LKM dan insurans kereta itu telah tamat tempoh sejak 15 bulan lalu.
“Alasan dia tidak memperbaharuinya kerana ingin menjual kereta itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Hasil siasatan lanjut juga mendapati pemandu kereta itu mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau; gagal mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan lesen memandu percubaan tamat tempoh.
Susulan itu, kenderaan terbabit disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.