Pada hari semalam tular kisah bakat baharu dari Indonesia, Putri Ariani didakwa ‘sidai’ pengamal media selama dua jam selepas majlis pengumuman Walker World Tour 2024.
Teruk dikecam warganet, satu kenyataan respon dikongsikan menerusi Instagram Story @arianinismaputri milik penyanyi itu.
Baca Juga:
- ‘Saya Minta Maaf Aishwarya Rai, Tapi Dia Tak Kenal Saya & Tak Peduli’ – Chef Wan
- Dolla Tak Harapkan Semua Orang Kenal Mereka
- Rosyam Nor Mahu Terus Bersaing Dengan Generasi Muda Dalam Filem Aksi
Menurutnya, beliau tidak tahu masih ada wartawan yang menunggunya selepas sesi majlis tersebut berakhir.

“Selepas saya keluar dari bilik (sidang media), saya diberitahu oleh pihak penganjur acara dan promoter bahawa acara sidang media sudah selesai.
“Jadi saya tidak tahu masih ada wartawan menunggu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perkara itu patut disoal pada penganjur dan promoter. Bukan menyalahkan dirinya sepenuhnya.
“Bukan saya anjurkan acara itu, jadi tanyalah kepada penganjur. Acara tersebut sudah selesai dengan lancar, kenapa marahkan Putri?,” soal penyanyi berusia 18 tahun itu.
Beliau berkata sedemikian selepas media sosialnya dihujani komen-komen netizen yang berasa kurang senang dengan tindakannya.
Terdahulu, media tempatan meluahkan kekecewaan selepas penungguan ketibaan Putri Ariani selama dua jam sia-sia apabila promoter memberitahu penyanyi itu tidak dapat kembali untuk meneruskan sesi temu ramah bersamanya.
Dalam masa sama, Putri turut didakwa tidak profesional kerana menjawab soalan dilontarkan kepadanya secara acuh-tidak acuh.
Pengamal media turut membandingkan penyanyi itu dengan Alan Walker yang jauh lebih mesra melayan wartawan selepas selesai majlis pengumuman jelajah dunia, semalam.
Alan Walker bakal membuat persembahan di Surf Beach Sunway Lagoon menerusi Konsert Jelajah Asia yang akan berlangsung pada 22 Jun depan.
Malaysia merupakan salah satu negara Asia pilihan artis itu selain Indonesia, Singapura, China, India dan Taipei.