Isu manipulasi berat barangan basah bukanlah perkara baharu, namun taktik terbaharu yang tular di media sosial ini benar-benar mengejutkan orang ramai.

Baru-baru ini, seorang pengguna meluahkan rasa kesal dan kecewa yang amat sangat selepas mendapati sotong yang dibelinya di Pasar Besar Kota Kinabalu (KK) disyaki telah dimanipulasi oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Penemuan Menimbulkan Tanda Tanya

Menurut perkongsian individu berkenaan, dia telah membeli satu kilogram sotong yang mengandungi tujuh ekor pada minggu lalu. Bagaimanapun, helah peniaga tersebut terbongkar semasa proses membersihkan makanan laut itu di rumah.

Apa yang mengejutkan, setiap ekor sotong yang dibeli rupa-rupanya mengandungi dua ekor ikan basung yang mempunyai saiz yang hampir sama di dalamnya.

“Saya rasa sangat sukar untuk mempercayai ini adalah satu kebetulan. Nampaknya ikan-ikan ini sengaja dimasukkan ke dalam sotong, berpotensi untuk meningkatkan berat keseluruhan dan jumlah yang perlu dibayar oleh pelanggan. Penipu!” luah individu tersebut dengan nada yang cukup kecewa.

Mengaut Keuntungan Atas Angin

Taktik Sorok Ikan Dalam Sotong? Pengguna Dakwa Ditipu Di Pasar Besar KK Untuk Tambah Berat Timbangan
Sumber Gambar: Threads

Tindakan menyumbat ikan ke dalam sotong ini dipercayai dilakukan bagi menambah berat timbangan. Memandangkan harga sotong jauh lebih mahal berbanding ikan basung, taktik kotor ini secara tidak langsung memaksa pelanggan membayar harga premium untuk barangan yang tidak sepatutnya.

Rata-rata netizen yang membaca perkongsian tersebut turut meluahkan rasa berang dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penipuan yang jelas dan terang-terangan terhadap hak pengguna.

Gesaan Siasatan Kepada Pihak Berkuasa

Enggan membiarkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa, individu terbabit telah memanjangkan isu ini kepada perhatian pihak kepimpinan tempatan.

Beliau secara terbuka meminta bantuan daripada YB Datuk Jamawi Jaafar agar perkara ini dapat disiasat dengan segera oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“YB Datuk Jamawi Jaafar, saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menyiasat perkara ini. Saya membeli sotong minggu lepas dan mendapati ikan disumbat di dalam beberapa ekor sotong tersebut.

“Daripada 7 ekor sotong, setiap satu mengandungi 1 hingga 2 ekor ikan bersaiz sama, yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan manipulasi untuk menambah berat. Terima kasih,” jelasnya lagi dalam hantaran tersebut.

Dalam pada itu, bukan sekadar meraih perhatian pengguna di platform, malahan terdapat beberapa luahan pelanggan yang mengalami perkara sedemikian.

Didakwa memang wujud segelintir peniaga yang sengaja menyumbat ikan dengan harapan boleh meraih keuntungan berganda.

 Pengguna Dinasihatkan Lebih Berwaspada

Kes seumpama ini menjadi peringatan penting kepada seluruh masyarakat agar sentiasa memeriksa barangan basah yang dibeli sebelum membuat pembayaran. Pihak berkuasa juga digesa untuk mempertingkatkan operasi mengejut di pasar-pasar awam bagi memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan yang jujur dan telus.