Seorang lelaki di Sarawak sanggup berbohong tentang kejadian rompakan hanya kerana takut dimarahi isteri selepas kehilangan wang sebanyak RM850 milik isterinya.

Insiden ini mengejutkan orang ramai selepas lelaki tersebut, yang cuba menutup kesalahan diri sendiri, akhirnya ditahan polis kerana membuat laporan palsu.

Menurut laporan New Straits Times, lelaki berkenaan telah memfailkan laporan polis mendakwa dirinya menjadi mangsa rompakan bersenjata di Kampung Tanjung Bundong.

Dalam laporan tersebut, dia mendakwa telah diserang oleh dua lelaki bermotosikal yang menggunakan senjata tajam, menyebabkan dia kehilangan RM850, tiga bungkusan barang milik pelanggan dan sebuah telefon pintar.

Namun, hasil siasatan polis mendapati bahawa kejadian rompakan itu tidak pernah berlaku.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin, menjelaskan bahawa lelaki tersebut akhirnya mengaku bahawa dia membuat laporan palsu kerana hilangkan wang isterinya ketika tertidur di dalam kereta di kawasan parkir di Bandar Riyal.

Motif lelaki Sarawak itu yang takut dan hanya mahu mengelakkan diri daripada dimarahi isteri telah memakan dirinya sendiri.