Kumpulan rock legenda, Spider baru baru ini menggegarkan Zepp menerusi konsert Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur.
Kira kira 2,400 orang peminat setia Spider datang membanjiri Zepp. Dan rata rata peminat puas untuk melihat aksi Spider selepas sekian lama merindui kelibat Tam dan rakan rakannya itu beraksi di atas pentas.
Konsert tersebut turut meraih pujian ramai pihak. Terutama sekali aksi Tam Spider sebagai orang hadapan di atas pentas.
Tam Spider turut berbesar hati dapat menghiburkan peminat setia Spider. Namun dia mengakui ada terasa ralat ketika beraksi di atas pentas tanpa Tony dan juga Nafie.
Tony sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Sementara Nafie tidak dapat menyertai Tam kali ini kerana isu kesihatan yang tidak mengizinkan.
Dipetik dari laman BH Online, Tam Spider berkata: “Saya tak rasa kosong. Cuma, ada juga ralat kerana mereka tak boleh bersama kami sampai tahap ini.
“Tony sudah tiada dan Nafie pula keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk beraksi dan terpaksa berehat.”

Dalam pada masa yang sama, ketiadaan dua rakannya itu memberikan semangat kepada mereka untuk menjayakan konsert itu.
Tam turut meluahkan di hadapan peminatnya dengan ayat yang agak menyentuh perasaan: “Dalam hidup ini ada yang sejak awal hingga akhir bersama, ada juga sempat bersama, tapi pergi di pertengahan jalan.”
Spider adalah kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 dan menempa kegemilangan mereka terutama sekali menerusi lagu ciptaan arwah Loloq. Kemuncak kegemilangan mereka adalah ketika berjaya menjuarai Juara Lagu Ke-19 pada 2005 menerusi lagu Relaku Pujuk.