Baru-baru ini ibu bapa menzahirkan kegusaran berhubung ura-ura tambang bas sekolah bakal naik RM10 hingga RM20 daripada harga asal.

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mengesahkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka meningkat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu berlaku berikutan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar khususnya Lembah Klang.

“Memang kemungkinan ada peningkatan harga untuk penggal baharu tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana ia berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, antara faktor tambang terpaksa dinaikkan adalah kerana alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar.

“Kalau dulu harga alat ganti RM100 tetapi sekarang dah naik RM120 hingga RM150, dan kos juga berdasarkan penyelenggaraan bulanan.

“Kami juga perlu menukar minyak hitam dan perlu juga melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama, malah ada juga operator perlu membayar parkir kalau tidak akan disaman,” jelasnya.

Amali berkata, kenaikan tambang itu berlaku berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah dan ia mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015.

“Pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada operator yang akan mengambil kira dan bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat pihak berkenaan bersama ibu bapa,” katanya.

Menurutnya lagi, kenaikan RM10 hingga RM20 masih lagi berpatutan kerana seorang pelajar akan menaiki bas kira-kira 44 kali dalam sebulan, petik portal Majoriti.

“Ibu bapa tidak sepatutnya menganggap kenaikan itu sebagai jumlah yang rambang, tetapi mengira berdasarkan penggunaan harian pelajar. Sebagai contoh, jika kita menaikkan tambang sebanyak RM20, kenaikannya hanya 90 sen sehari dan itu adalah berpatutan,” ujarnya.

Beliau juga menerima aduan daripada beberapa pemandu bas mengenai ibu bapa yang enggan membayar tambang sebulan jika terdapat cuti sekolah bulan tersebut.

“Pendapatan mereka bukan berdasarkan perjalanan harian atau mingguan, tetapi dibayar berdasarkan sesi persekolahan,” katanya.

Ujarnya, pemandu juga terpaksa menanggung kos operasi sepanjang tahun dan penyelenggaraan wajib setiap tiga bulan.