Pakar Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian menyatakan harga tambang penerbangan diunjurkan meningkat antara lima hingga 10 peratus, petik Harian Metro.

Kenaikan itu dijangka berlaku dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kos operasi yang ditanggung syarikat penerbangan.

Menurut beliau, kenaikan itu bukan berlaku secara mendadak. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada tekanan kos semasa seperti harga minyak, kos logistik serta komponen penyelenggaraan pesawat.

“Biasanya syarikat penerbangan akan membuat pengiraan berdasarkan kos operasi, harga minyak global, premium risiko dan juga kos pengangkutan termasuk katering serta penyelenggaraan pesawat.

“Semua komponen ini meningkat kerana ia bergantung kepada rantaian logistik yang turut terkesan dengan kenaikan harga minyak, jadi mereka tiada pilihan selain melaraskan harga tambang,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan seterusnya (lebih 10 peratus) berlaku secara progresif jika tekanan kos berterusan.

“Syarikat penerbangan tidak akan menaikkan harga secara sekali gus, sebaliknya menilai keadaan semasa dari segi kos bahan mentah, penyelenggaraan dan operasi sebelum membuat pelarasan tambahan.

“Harga tambang akan naik secara berperingkat mengikut unjuran kos. Kalau kos terus meningkat, harga juga akan disemak semula dari semasa ke semasa,” katanya.