Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilaporkan sudah berpisah dengan kelab Thailand, Police Tero selepas pasukan itu tersingkir ke divisyen dua pada musim hadapan.
Menurut laporan media di Thailand, Police enggan untuk terus menggunakan khidmat Cheng Hoe dan mereka mahu melantik ketua jurulatih baharu dalam usaha untuk kembali ke saingan Thai League 1.
Baca Juga:
- Wanita Amerika Ini Dakwa 50 Lelaki Tempatan Cuba ‘Cabul’ Ketika Berjalan Di KL
- Masa Depan Tan Cheng Hoe Cetus Tanda Tanya
- Berhijrah Ke Thailand Bagai Mimpi Jadi Kenyataan Bagi Tan Cheng Hoe
Sepanjang Cheng Hoe memegang jawatan sebagai pengendali pasukan, Police Tero meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan sekaligus menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dalam carta liga.
Sebagai rekod, pasukan yang pernah diperkuatkan oleh Dominic Tan dan Mohamadou Sumareh itu hanya mengutip 28 mata daripada 30 perlawanan liga pada musim 2023/2024.
Sebelum ini, Cheng Hoe sendiri menyuarakan beliau mahu kekal di Thailand meskipun Police bakal beraksi di saingan divisyen dua kerana ini merupakan pengalaman pertama beliau menguruskan kelab di luar Malaysia.
Tan Cheng Hoe menafikan dakwaan pelbagai pihak yang menyifatkan pasukan Police Tero sekadar tempat ‘transit’ sebelum kembali semula ke Liga Malaysia.
Penghijrahan Cheng Hoe ke Thailand itu menjadi persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana ia berlaku secara tiba-tiba selepas membantu Selangor meraih gelaran naib juara Liga Super musim 2023.
“Segala khabar angin tidak benar. Ini bukan ‘transit’.
“Ia adalah keputusan yang sangat sukar kerana RMS (Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah), pemain serta barisan jurulatih Selangor memberi sokongan dan saya mengharungi musim 2023 yang hebat.
“Tawaran Polis Tero datang secara tiba-tiba. Pastinya mencabar buat saya, tetapi memang sentiasa menjadi impian saya untuk bekerja di luar negara.
“Dengan restu RMS, saya menyertai Polis Tero. Saya harap ini juga akan membuka pintu kepada lebih ramai jurulatih Malaysia (untuk bekerja di luar negara),” kata Cheng Hoe dipetik dari laporan NST.