Petron Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori tandas stesen minyak terbanyak yang meraih penarafan tinggi dalam penilaian kebersihan.

Pengiktirafan berprestij itu dicapai selepas sebanyak 560 stesen minyak Petron di seluruh negara berjaya memperoleh pengiktirafan kebersihan tandas bertaraf 4 dan 5 bintang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Majlis penganugerahan sijil rekod kebangsaan tersebut berlangsung di stesen Petron Taman Tasik Cyberjaya, disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.

Menurut pihak penganjur dan penilai, penarafan berkenaan dibuat menerusi penilaian menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek utama termasuk tahap kebersihan, fasiliti yang berfungsi dengan baik, penyelenggaraan berkala serta keselesaan pelanggan secara keseluruhan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, dalam ucapannya memuji komitmen berterusan pengendali stesen minyak yang sentiasa menyahut inisiatif kementerian dalam meningkatkan standard tandas awam di Malaysia.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Petron Malaysia atas pencapaian luar biasa mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini. Petron telah mencatatkan bilangan tandas stesen minyak bertaraf 4 dan 5 bintang terbanyak di Malaysia.

“Sebanyak 86% daripada keseluruhan stesennya, telah memperoleh penarafan tandas empat atau lima bintang sepanjang tempoh penilaian MBOR pada tahun 2025,” petik hantaran Facebook beliau.

Penganugerahan ini sekali gus membuktikan peranan stesen minyak bukan lagi sekadar pusat pengisian bahan api, malah menjadi lokasi persinggahan yang dipercayai oleh para pengguna jalan raya untuk berehat dan menyegarkan diri.