Bekerja di luar negara menjadi salah satu pilihan buat orang ramai dalam mendapatkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Tetapi tidak semuanya inddah seperti yang dibayangkan apabila ada individu sengaja pancing untuk mencari “mangsa”.

Baru-baru ini, seorang pengguna platform Threads telah berkongsi satu siaran peluang pekerjaan di Kemboja dengan tawaran gaji mencecah $1,000 bersamaan RM4,260 malahan tidak memerlukan sebarang sijil atau pengalaman.

Apa yang mencurigakan pengguna internet adalah apabila wujud satu syarat yang ditetapkan yang mana memerlukan calon untuk mempunyai organ dalaman yang bersih dengan alasan ia bakal berkait kerja berat yang akan mudah penat jika badan tidak sihat.

Malah, kenyataan yang meminta calon untuk bawa badan sahaja tanpa perlu memberikan CV sudah cukup memberi indikator ini bukanlah “kerja” tetapi lebih kepada sindiket perdagangan organ yang sedang mencari mangsa baharu.

Ini bukanlah sesuatu yang baharu lagi kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di Indonesia, memperlihatkan sejumlah pemuda yang sanggup menerima tawaran tersebut namun kecundang pada akhirnya.

Untuk memancing mangsa, si majikan bakal sediakan tiket penerbangan serta visa kerja untuk kelihatan lebih “menyakinkan”.

kerja
Sumber Gambar:Threads

Hal ini kerana mereka pada mulanya ada yang perlu bekerja sebagai scammer dalam talian dan jika tidak mencapai sasaran maka organ dalaman menjadi cagaran. Lebih memilukan, mangsa yang dibedah pula tidak diberikan ubat bius sekaligus menjadikan mereka perlu menanggung kesakitan yang tidak terkata.

Melihat respons, ramai pengguna meminta orang ramai untuk berwaspada dengan tawaran sebegini kerana ia hanyalah samaran kepada tujuan asal sindiket yang mahu mendapatkan organ dalaman yang mana akan dijual di dalam pasaran gelap.

Syarat mempunyai organ dalaman yang bagus ini juga dipercayai adalah sasaran sindiket yang mahu mendapatkan keuntungan menjual ia pada harga yang lebih mahala kerana permintaan yang tinggi berbanding dengan organ yang kotor atau dikategorikan sebagai tidak sihat.

Selain itu, pengguna internet berharap agar pihak polis akan membendung kegiatan sindiket perdagangan organ yang semakin berani membuat iklan secara terbuka seolah-olah kebal dari tindakan undang-undang pula.

Walaupun perkara ini ditemui di Indonesia, tidak bermaksud Malaysia terselamat kerana masih ada kes mangsa yang terperangkap di Thailand atau Vietnam kerana menjadi mangsa sindiket penipuan.

Harap orang ramai lebih cakna dan meneliti sesuatu siaran tawaran kerja secara terperinci agar tidak termasuk ke dalam perangkap sindiket.