Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah tersendiri dalam bidang inovasi automotif menerusi tayar motosikal berteknologi sembuh sendiri, JVR Selfheal Tyre, yang berjaya mengharungi ujian ekstrem selama dua jam tanpa henti di Horizon Beranang Circuit, Selangor.

Ujian ketahanan tersebut dijalankan bagi menilai keupayaan serta prestasi sebenar teknologi getah sembuh sendiri (self-healing rubber) dalam situasi pemanduan lasak dan berterusan di litar perlumbaan.

Penyelidikan berimpak tinggi ini diterajui oleh Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, dengan fokus utama membangunkan formulasi getah termaju khusus untuk aplikasi tayar motosikal tempatan.

Memetik kenyataan USM, ujian lapangan berintensiti tinggi ini penting bagi membuktikan keberkesanan sains bahan yang dibangunkan di makmal apabila diaplikasikan dalam senario sebenar.

Tayar USM Setanding Jenama Antarabangsa

Sesi ujian tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan MotoWazi di bawah pimpinan tokoh permotoran negara, Dr. Wazi Abdul Hamid.

Ujian itu turut disertai kepakaran barisan pelumba profesional negara dan juara Asia, termasuk Md Zaqhwan Zaidi, Azroy Hakeem Anuar, Suhaidi Ali Rahma serta Md Afiq Md Hamdan.

Dalam sesi ujian itu, tayar yang telah ditebuk dan dipancitkan sengaja digunakan bagi menguji mekanisme pemulihan kendiri bahan getah berkenaan secara langsung di atas trek berturap.

Berdasarkan maklum balas para pelumba yang terlibat, JVR Selfheal Tyre menunjukkan cengkaman dan kestabilan yang baik, dengan prestasi yang disifatkan setanding dengan jenama tayar antarabangsa terkenal.

Program tersebut turut disaksikan oleh wakil daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Rubber Council (MRC), serta rakan kolaborasi industri, Everthrough Rubber Product Sdn. Bhd.

Kejayaan ujian ini menandakan langkah signifikan dalam mengesahkan potensi komersial teknologi getah sembuh sendiri, di samping memperkukuh sinergi antara akademia dan sektor industri bagi memacu nilai tambah industri getah negara ke peringkat global.

Sumber