Anda mesti pernah terbayang untuk melakukan transaksi dengan semudah mengimbas tapak tangan sahaja. Mana tidaknya, dengan kebolehan ini mampu memudahkan urusan seharian dan tiada lagi isu terlupa bawa dompet dan seumpamanya sewaktu pembayaran.

Memetik dari Amanz, OpenSys Technologies kini sedang menggegarkan arena pembayaran cashless negara apabila mereka mengumumkan projek rintis PalmWav.

Teknologi 'Sci-Fi' Ke Realiti, Malaysia Kini Boleh Bayar Guna Tapak Tangan Dengan Sistem PalmWav
Sumber Gambar: Lowyat.net

Ini merupakan sistem revolusioner yang membolehkan pengguna menyelesaikan transaksi hanya dengan mengimbas keseluruhan tapak tangan mereka.

Nampaknya, kita sudah masuk ke zaman pembayaran ‘Sci-Fi’ yang kini sah menjadi realiti di Malaysia.

Lupakan terus insiden tercari-cari telefon untuk imbas kod QR yang selalunya ‘hang’ itu, atau insiden payah nak keluarkan kad fizikal dari dompet. Dengan PalmWav, anda hanya perlukan tapak tangan anda sendiri untuk pembayaran.

Teknologi unik ini disokong sepenuhnya oleh pelbagai infrastruktur pembayaran utama termasuk rangkaian MyDebit oleh PayNet.

Pendek kata, PalmWav ini bakal menjadi alternatif terbaharu yang bakal digunakna secara meluas selepas ini.

Sebagai sebahagian daripada program rintis, sistem pengimbas PalmWav telah mula diuji dan digunakan di lokasi-lokasi terpilih di Kuala Lumpur, termasuk Kom.Fi Café, Bread Maison, dan Dosz Coffee.

Bagi tujuan penggunaan, pelanggan perlu memuat turun aplikasi PalmWav dan melakukan proses pendaftaran cap tapak tangan yang hanya perlu diselesaikan sekali sahaja di premis yang menyokong sistem pembayaran ini.

Dari segi teknologi, PalmWav dikuasakan oleh Tencent Cloud; teknologi ini bertanggungjawab mengenal pasti tapak tangan pengguna dan kemudian menyulitkan data tersebut bagi memastikan keselamatan.

Proses pengesahan pembayaran ini dapat diselesaikan oleh sistem dalam masa beberapa saat sahaja.