Model kereta elektrik (EV) sepenuhnya yang pertama daripada Ferrari, iaitu Ferrari Luce, telah mencetuskan perdebatan hangat mengenai hala tuju reka bentuknya.
Bagaimanapun model kereta EV itu menarik permintaan awal yang sangat kukuh daripada para pembeli di Thailand.
Memetik portal The Nation, harga Ferrari Luce di Eropah pada 550,000 euro, atau sekitar 20.8 juta baht (RM2.54 juta).
Di Thailand pula, model yang diimport ini dijangka akan menelan kos yang lebih tinggi, iaitu melebihi 40 juta baht (RM4.88 juta).
Ramai Pelanggan Thailand Tempah Ferrari Luce
Walaupun reka bentuknya menyimpang jauh daripada tradisi lazim jenama Itali tersohor itu, pasaran masih menunjukkan reaksi yang sangat positif.
Menurut pengedar rasmi Ferrari di Thailand, iaitu Cavallino Motors, Thailand telah menerima jumlah tempahan Luce yang tertinggi dalam rantau ASEAN.
Berdasarkan maklumat daripada sumber, proses penghantaran kenderaan ini dijadualkan bermula pada lewat tahun 2027.
Terdahulu Ferrari Luce direka oleh LoveFrom, sebuah firma reka bentuk yang diketuai oleh Sir Jony Ive dan Marc Newson, iaitu dua orang bekas pereka Apple yang cukup terkenal dalam bidang reka bentuk produk perindustrian.
Sentuhan mereka pada model EV pertama Ferrari ini menandakan perubahan yang drastik daripada pelbagai tradisi yang sekian lama dikaitkan dengan jenama Maranello itu.