Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengakui pemainnya berada jauh di bawah tahap prestasi sebenar mereka yang diperlukan dalam kekalahan 3-0 mereka kepada Tottenham pada hari Ahad.

Tetapi menegaskan kad merah kepada Bruno Fernandes sejurus sebelum separuh masa memberi “impak besar” kepada keputusan perlawanan. Di mana Ten Hag menyalahkan keputusan pengadil melayangkan kad merah tidak sepatutnya kepada Bruno Fernandes punca mereka gagal untuk melakukan ‘comeback’.

Spurs bermula dengan pantas dan berada di hadapan dalam masa dua minit, Brennan Johnson menjaringkan gol dari jarak dekat. Dan mereka berterusan menyerang  Man United untuk baki separuh masa pertama, dengan tuan rumah hanya melakukan tiga percubaan dan 37 peratus penguasaan bola dalam 45 minit pertama, berbanding 12 percubaan dan 63 peratus penguasaan oleh Tottenham.

Walaupun begitu, Ten Hag merasakan pasukannya hampir bangkit selepas Alejandro Garnacho melakukan percubaan terkena tiang luar dan Joshua Zirkzee melakukan rembatan yang diselamatkan.

Bruno Fernandes kemudian dibuang badang kerana cabaran paras lutut ke atas James Maddison. Ia dianggap titik perubahan yang menghalang pasukannya untuk bangkit.

“Kami boleh bangkit dalam permainan, kami mempunyai peluang dengan Garnacho dan Zirkzee. Tetapi kad merah itu mengubah permainan,” Ten Hag memberitahu Sky Sports selepas perlawanan.

“Ia tidak bagus [separuh masa pertama]. Tidak mungkin pemain dari pertahanan boleh menggelecek seluruh pasukan dan melakukan hantaran silang. Kami kehilangan sedikit keyakinan dan sangat lemah dalam penguasaan bola tetapi semua pemain tahu ini.

“Sudah tentu mereka [pemain] hilang arah. Kami tahu Tottenham melakukan tekanan tinggi dan mempunyai kelajuan di hadapan. Anda perlu berada di posisi terbaik anda dan kami agak tidak berdisiplin. Kami terlalu tertekan ketika ada bola.”

Ten Hag berpendapat bahawa pengadil membuat kesilapan dengan melayangkan kad merah kepada Bruno Fernandes.

Ten Hag menambah: “Saya tidak fikir ia adalah kad merah. Kami mempunyai peluang keemasan [sebelumnya] dan ia hanya 1-0 supaya kami boleh membuat kebangkitan. Ia memberi impak besar kepada permainan.”